Pendaki Gunung Suku hilang: Mayat kedua ditemui, operasi SAR tamat

Aida Aziz
Mei 21, 2022 14:08 MYT
Pada jam 11.20 pagi ini, unit pengesan (K9) mengesahkan menjumpai mangsa kedua di bawah timbunan di lokasi sektor C. - Foto ihsan JBPM Perak
IPOH: Pasukan penyelamat berjaya menemukan mayat mangsa kedua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air ketika mendaki di Gunung Suku, Simpang Pulai, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhammad Shahrizal Aris berkata, setelah mangsa pertama ditemukan pada 16 Mei lalu, kini mangsa kedua ditemui di bawah timbunan lokasi sektor C, iaitu di kawasan terowong berdekatan jalan besar.
Katanya lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketujuh ini membabitkan kekuatan anggota penyelamat seramai 43 orang, dari pelbagai agensi.
"Operasi pencarian diteruskan pada jam 9 pagi. Pada jam 11.20 pagi, unit pengesan (K9) mengesahkan menjumpai mangsa kedua di bawah timbunan di lokasi sektor C, seterusnya kerja-kerja mengeluarkan mangsa dijalankan.
"Mayat dijumpai dalam keadaan lengkap, cuma ada kecederaan di badan dan kepala. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis pada jam 11.55 pagi untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, identiti mayat hanya boleh disahkan selepas dihantar ke unit forensik bagi tujuan pengecaman.
Operasi yang bermula pada 15 Mei itu tamat sepenuhnya hari ini pada jam 1 tengah hari.
Terdahulu, dua wanita dikenali sebagai See Su Yen, 32 tahun, dan Ng Yee Chew, 46 tahun, dihanyutkan kepala air semasa mendaki gunung berkenaan pada Ahad lalu.
Dalam kejadian itu, sekumpulan 29 pendaki gunung mendengar bunyi air dan tanah runtuh dari atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, kepala air menimpa kumpulan pendaki itu dan dua wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai dihanyutkan arus deras.
Sebelum ini media melaporkan, pasukan penyelamatan menemukan sebahagian kaki mangsa dan kemudian turut menemukan bahagian anggota tubuh manusia dipercayai milik salah seorang daripada pendaki terbabit.
Media turut melaporkan menemui beberapa cebisan pakaian mangsa selain turut menemukan lagi cebisan anggota tubuh badan manusia dipercayai mangsa dua pendaki pada hari sama.
#pendaki hilang #Gunung Suku #operasi sar #mayat
;