Pendaki Gunung Suku hilang: Anggota tubuh badan, mayat dihantar ke Jabatan Forensik HRPB
Aida Aziz
Mei 21, 2022 20:28 MYT
Mei 21, 2022 20:28 MYT
IPOH: Kesemua anggota tubuh badan dan mayat pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air semasa mendaki Gunung Suku, Simpang Pulai pada Ahad lalu, dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, anggota tubuh badan mangsa dan mayat seorang lagi pendaki wanita yang ditemukan pagi tadi akan melalui proses bedah siasat serta pengesahan identiti.
Katanya lagi, menerusi penemuan kedua-kedua mangsa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Pos Atap Baru ditutup hari ini.
"Pada jam 11.15 pagi hari ini, pasukan SAR dengan bantuan unit pengesan K-9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menjumpai satu mayat disyaki milik mangsa kedua tertanam dalam tanah.
"Lokasi itu 1 meter di tepi laluan Sungai Gunung Suku berhampiran Kilometer 31, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.
"Kesemua anggota tubuh manusia dan mayat yang dijumpai telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, untuk bedah siasat dan pengesahan identiti," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mior Faridalathrash menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit membantu dalam operasi yang memasuki hari ketujuh hari ini.
Sementara itu, beliau turut memperincikan perjalanan operasi SAR yang bermula sejak 15 Mei lalu.
"Pada 15 Mei lalu jam lebih kurang 5.30 petang, pasukan SAR yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Ipoh telah menjumpai satu anggota tubuh manusia (kaki kiri) di bahagian atas Gunung Suku.
"Ia dipercayai milik salah seorang daripada mangsa yang dilaporkan hilang. Di perkembangan lain iaitu keesokan harinya pada jam 10.20 pagi, satu lagi anggota tubuh manusia ditemukan (bahagian pinggang ke atas tanpa kepala) di bahagian bawah laluan Pos Atap Baru, disyaki milik mangsa yang sama," katanya lagi.
Terdahulu, dua wanita dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, dihanyutkan kepala air semasa mendaki gunung berkenaan pada Ahad lalu.
Dalam kejadian itu, sekumpulan 29 pendaki gunung mendengar bunyi air dan tanah runtuh dari atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, kepala air menimpa kumpulan pendaki itu dan dua wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai dihanyutkan arus deras.
Sebelum ini media melaporkan, pasukan penyelamatan menemukan sebahagian kaki mangsa dan kemudian turut menemukan bahagian anggota tubuh manusia dipercayai milik salah seorang daripada pendaki terbabit.
Media turut melaporkan menemui beberapa cebisan pakaian mangsa selain turut menemukan lagi cebisan anggota tubuh badan manusia dipercayai mangsa dua pendaki pada hari sama.
#pendaki hilang
#Gunung Suku
#simpang pulai
#Jabatan Forensik
#HRPB
#Hospital Raja Permaisuri Bainun
#polis perak
#See Su Yen
#Ng Yee Chew