Pendaki dikhuatiri lemas di Sungai Tanum ketika turun Gunung Tahan
Azee Shafy
Januari 22, 2023 21:06 MYT
Januari 22, 2023 21:06 MYT
LIPIS: Seorang pendaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika melintasi Sungai Tanum di sini, pada Ahad.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama sembilan yang lain melintas sungai itu dalam perjalanan turun dari Gunung Tahan.
Mangsa dipercayai berusia 47 yang beralamat di Kuala Terengganu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.45 petang.
Katanya, empat anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lipis bersama 10 anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Gunung dan Gua (Moscar) serta lima anggota polis melakukan pendakian Gunung Tahan untuk ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.
"Berdasarkan maklumat awal, mangsa bersama rakan pendaki lain melakukan pendakian melalui pintu masuk di Merapoh, Lipis pada Jumaat lalu dan dijangka turun pada Selasa ini.
"Berikutan cuaca hujan lebat, kumpulan pendaki itu mengambil keputusan berpatah balik dan turun melalui laluan Kuala Juram," jelasnya.
Difahamkan, pasukan operasi mencari dan menyelamat telah mendaki Gunung Tahan untuk ke lokasi kejadian.