'Pendaki di Nepal berdepan risiko kemalangan, diculik pemberontak'

Hamzah Hamid
April 15, 2015 17:29 MYT
MUQHARABBIN: Kawasan yang dilalui Dennis belum dianggap tinggi untuk mendapat mabuk altitud kerana ia permulaan laluan pendakian.
Keadaan geografi, hal keselamatan dan isu politik adalah antara faktor yang perlu diambil kira pihak berkuasa dan pasukan pencari dan penyelamat yang sedang menjejaki warga Malaysia, Dennis Lee, yang hilang sewaktu mendaki sirkit kembara Annapurna, Nepal.
Pandangan itu disampaikan oleh pendaki gunung berpengalaman, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin, 33, apabila diminta menggambarkan situasi yang mungkin dialami Dennis.
“Ada beberapa kemungkinan yang berlaku kepada pendaki seperti terjatuh ke lereng bukit atau ke dalam sungai. Jika jatuh sungai, risiko hidup amat tipis kerana keadaan sungai yang berbatu tajam dan arus yang deras,” terangnya.
Muqharabbin yang pernah menawan puncak Everest pada tahun 2004 memberitahu, kemungkinan lain yang perlu diberi perhatian adalah pendaki diculik puak pemberontak yang tidak menyokong pentadbiran kerajaan Nepal.
“Hal ini saya sampaikan kerana semasa pendakian saya di sekitar Annapurna pada tahun 2003, ketika itu saya diingatkan oleh jurupandu pendakian bahawa kawasan tersebut masih ada pengganas yang menentang kerajaan,” katanya.
Peta menunjukkan laluan sirkit kembara Annapurna di Nepal dan lokasi pendaki Malaysia Dennis Lee dilaporkan hilang sejak 5 April lalu. -Foto Astro AWANI
Muqharabbin berpendapat, sekiranya diketepikan faktor kemalangan teruk seperti jatuh ke dalam gaung atau penculikan, Muqharabbin yakin pendaki seperti Dennis boleh ditemui dalam keadaan selamat kerana kawasan dia dilaporkan berada semakin kurang bersalji memandangkan sekarang ini peralihan ke musim panas.
“Kawasan itu juga tidak begitu tinggi untuk seseorang mendapat gangguan mabuk ketinggian. Apapun saya doakan agar keluarga beliau tabah dengan sebarang kemungkinan," ujarnya.
Jelas Muqharabbin, lazimnya pendakian awal dalam sesebuah ekspedisi tidaklah berbahaya terutamanya di Nepal.
“Ini kerana pendaki akan memulakan pendakian di antara ketinggian 1,500 hingga 3,000 meter dari paras laut. Pada ketinggian begitu, kebanyakan pendaki tidak akan mendapat simptom mabuk altitud,” jelasnya.
Kawasan itu juga tidak begitu tinggi untuk seseorang mendapat gangguan mabuk ketinggian.
Tambahnya, laluan awal di sekitar kawasan Dennis dilaporkan hilang itu merupakan laluan berbukit dan sungai.
“Di Nepal, permulaan pendakian akan melalui laluan lereng bukit dan sungai serta rumah-rumah kampung. Mereka akan melalui jarak di antara 5 hingga 10 kilometer antara sebuah kampung dengan kampung yang lain,” katanya.
Semua kemungkinan tersebut merupakan maklumat penting dalam usaha mengesan Dennis yang hilang sejak 5 April lalu iaitu hari pertama pendakian untuk merentas laluan Pokhara-Mustang.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada petunjuk bagi pelancong Malaysia hilang di Nepal
Pengembara berusia 47 tahun itu terpisah daripada sekumpulan lapan pendaki lain dari Filipina ketika masih dalam kawasan Ghorepani, daerah Myagdi, kira-kira 450km di barat laut Kathmandu.
Menurut Pengarah SAR Dogs Nepal, Jit Bahadur Masrangi, seramai 15 anggota polis, tiga anjing pengesan dan sebuah helikopter telah dihantar ke kawasan sepanjang laluan Ghorepani-Ghandruk untuk mengesan kedudukan Dennis.
Penduduk kampung juga tidak terkecuali diminta tampil membantu menjejaki Dennis apatah lagi setelah Balai Polis Ghorepani mengeluarkan notis ganjaran sejumlah AS$500 (kira-kira RM1,800) bagi sesiapa yang memberikan maklumat awal lokasi Dennis.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengembara hilang: Keluarga rayu penjejak berpengalaman bantu dalam SAR
#Annapurna #Dennis Lee #muqharabbin #Nepal #sirkit kembara
;