Pendaki batal ekspedisi susulan gempa Ranau
Ruzaini Zulkepli
Mac 8, 2018 23:09 MYT
Mac 8, 2018 23:09 MYT
Sejumlah 193 individu termasuk 130 pendaki Gunung Kinabalu terpaksa membatalkan ekspedisi mendaki mereka serta-merta susulan kejadian gempa bumi berukuran 5.2 skala ritcher di kawasan Ranau sekitar jam 9.06 malam tadi.
Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Dr Jamili Nais berkata, kesemua individu yang terlibat selain pendaki, termasuk malim gunung, kakitangan TTS serta pasukan bantuan mencari dan menyelamat di Gunung (MOSAR).
Jelasnya, aktiviti mereka dihentikan atas kerelaan kesemua individu tersebut sebagai langkah keselamatan.
"Daripada jumlah 193 itu, 130 individu dikenal pasti adalah pendaki yang difahamkan menjalankan aktiviti mendaki Gunung Kinabalu pada hari ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, malam tadi.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khairul Azuwan Ibrahim berkata, setakat jam 10.30 malam tadi pihaknya masih belum menerima sebarang panggilan kecemasan atau insiden membabitkan kemalangan jiwa susulan insiden gempa bumi terbabit.
"Setakat ini, kita tidak terima apa-apa panggilan berhubung kemalangan jiwa, tanah runtuh dan sebagainya susulan kejadian gempa bumi itu.
"Bagaimanapun pemantauan sedang giat dijalankan dan JBPM Sabah kini bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.
Pada 5 Jun 2015, 18 pendaki maut apabila gempa bumi berukuran 6 pada skala Richter di kawasan Kundasang, Ranau menggegar Gunung Kinabalu. Insiden tersebut merupakan gemba terburuk di negara ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun turut mengeluarkan arahan untuk penutupan sementara Gunung Kinabalu sejurus selepas gempa berlaku.
#bomba
#gempa bumi
#Gunung Kinabalu
#Jamili Nais
#JBPM Sabah
#kemalangan
#keselamatan
#Khairul Azuwan Ibrahim
#malim gunung
#Masidi Manjun
#maut
#operasi
#Ranau