Pendaftaran vaksin COVID-19 akan dibuka tidak lama lagi - Adham Baba

Astro Awani
Januari 15, 2021 12:57 MYT
Dr Adham Baba berkata, pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 untuk rakyat Malaysia akan dibuka melalui tiga fasa, tidak lama lagi. - Gambar hiasan/REUTERS
KUALA LUMPUR : Pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 untuk rakyat Malaysia akan dibuka melalui tiga fasa, tidak lama lagi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Malaysia meletakkan sasaran 70 peratus daripada keseluruhan populasi negara bagi pembentukan imuniti kelompok di bawah Pelan Imunisasi Kebangsaan bagi penyakit COVID-19 pada 2021.
"Fasa pertama akan diberikan kepada petugas barisan hadapan, fasa kedua untuk kumpulan berisiko tinggi atau mereka yang berpenyakit kronik serta warga emas berumur 60 tahun ke atas dan fasa ketiga kepada orang awam berusia 18 tahun dan ke atas," katanya dalam satu perkongsian dalam Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Adham berkata,vaksin Pfizer-BioNTech yang akan diterima Malaysia akhir bulan Februari depan itu sebelum ini mendapat kelulusan bersyarat daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Vaksin COVID-19 | Pelan vaksin ambil masa 18 bulan - Khairy
COVID-19 | Perjanjian pengeluaran, bekal vaksin dimeterai
Selain Malaysia, katanya, 49 buah negara lain juga memberi kelulusan malah ada negara telahpun mengguna vaksin itu.
"Untuk rekod, vaksin Pfizer juga menjadi vaksin COVID-19 yang pertama mendapat perakuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk kegunaan kecemasan," jelasnya.
Dalam pada itu, mengenai peneriman rakyat terhadap vaksin COVID-19, Adham memberitahu, tinjauan oleh KKM secara dalam talian pada 21 hingga 28 Disember lalu mendapati sebahagian besar responden bersetuju.
"Tinjauan dalam talian ini disertai 212,000 responden dan daripada jumlah itu, 67 peratus bersetuju, 17 peratus tidak pasti dan 16 peratus tidak bersetuju.
"Peratusan yang tidak pasti itu kerana mereka risau akan kesan sampingan dan keberkesanan vaksin terbabit. KKM akan membuat tinjauan dan kaji selidik dari semasa ke semasa untuk mengetahui peneriman rakyat," katanya lagi.
Beliau memaklumkan setakat 13 Januari lalu, kira-kira 32 juta penduduk dunia telah disuntik vaksin COVID-19 dan ia menunjukkan vaksin tersebut diterima.
BACA: Pelan vaksin COVID-19 negara ambil masa 18 bulan - Khairy
#COVID-19 #vaksin #Pfizer #Kementerian Kesihatan #Dr Adham Baba #Khairy Jamaluddin #barisan hadapan #warga emas #pesakit penyakit kronik
;