Pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 masih rendah di Pulau Pinang
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 8, 2021 16:41 MYT
Mac 8, 2021 16:41 MYT
GEORGE TOWN: Pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pulau Pinang masih rendah dengan jumlah yang mendaftar sekitar 10 peratus setakat ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sejak program itu dimulakan pada 28 Februari lalu, seramai 113,672 individu telah mendaftar manakala 5,172 individu sudah menerima vaksin.
Kon Yeow berkata, sambutan rakyat terhadap program imunisasi di negeri itu masih perlahan dan berharap jumlah itu akan terus bertambah dalam tempoh terdekat.
“Di Pulau Pinang kita sasarkan 1.3 juta penduduk akan mendaftar menerima suntikan vaksin, tetapi jumlah setakat ini sekitar 10 peratus sahaja selepas program pendaftarn bermula dan kita mengharapkan jumlah itu akan terus meningkat… mana-mana individu yang mendaftar awal mereka berpeluang mendapat suntikan awal, ia sekali gus memberi galakan untuk lebih ramai mendaftar (untuk divaksin),” kata beliau dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Kon Yeow berharap lebih ramai rakyat Pulau Pinang segera mendaftar dan tidak hanya mengambil langkah tunggu dan lihat meskipun pemberian vaksin fasa pertama ini memberi keutamaan kepada petugas barisan hadapan.
Dalam pada itu, Kon Yeow berharap program vaksinasi itu dapat dilaksanakan dengan adil dan tidak berlaku tindakan memotong barisan dan sebagainya dalam usaha memberi keyakinan rakyat terhadap program itu dapat ditingkatkan.
Berkongsi pengalaman sebagai antara penerima awal vaksin COVID-19 , Kon Yeow berkata, beliau tidak mengalami sebarang gejala melainkan sedikit rasa sakit di bahagian suntikan.
Hampir tiga juta individu di seluruh negara sudah mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menerusi aplikasi MySejahtera
#suntikan vaksin
#COVID-19
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#rakyat Pulau Pinang
#pulau pinang
#Ketua Menteri
#Chow Kon Yeow