Pendaftaran program rehabilitasi ahli GISB dibuka hari ini, lebih 20 pusat latihan disedia
Hasimi Muhamad
Oktober 14, 2024 20:02 MYT
Oktober 14, 2024 20:02 MYT
KUALA LUMPUR: Lebih 20 pusat latihan terpilih disediakan di seluruh negara bagi melaksanakan program rehabilitasi secara sukarela kepada ahli-ahli Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Keselamatan Strategik), Datuk Baharuddin Ahmad berkata, usaha itu, yang dilaksanakan secara kolaborasi bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi-agensi terlibat adalah bagi menjamin aspek akidah dan kelangsungan hidup ahli-ahli GISB.
Jelas beliau, program dilaksanakan secara berfasa dan dipantau oleh Jakim selama 90 hari, dengan pendaftaran secara dalam talian bermula 14 Oktober (hari ini) sehingga 14 November depan.
"Kami yang menggerakkan usaha ini bagi mewakili kerajaan dengan ikhlas dan jujur menyeru mereka tampil ke hadapan secara sukarela termasuk lelaki, wanita, dan kanak-kanak tanpa mengira peringkat umur.
"Kami menawarkan program pemulihan daripada aspek akidah, syariah, pendidikan, kesihatan, kenegaraan serta latihan kemahian secara komprehensif.
"Mereka yang mendaftar akan disaring dan diurus pengangkutan untuk dibawa ke pusat-pusat rehabilitasi yanh dipilih oleh kerajaan, dan memang (program ini) dirangka secara sistematik," katanya dalam sidang media yang berlangsung di ibu negara, hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Raja Datuk Nurshirwan Zainal Abidin; Pengarah Jabatan Pembangunan Kanak Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Dr Sopian Ibrahim; dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Sirajuddin Suhaimee.
Mengulas lanjut, Baharuddin berkata semua peserta yang terlibat akan disediakan penginapan serta makan dan minum sepanjang mengikuti program rehabilitasi tersebut.
Jelas beliau, berdasarkan rekod diterima MKN, dianggarkan terdapat 10,500 ahli GISBH di seluruh negara.
Ujarnya lagi, pihaknya dan agensi-agensi yang terlibat berusaha menempatkan ahli-ahli GISB yang sudah berkeluarga di lokasi sama dan tidak akan memisahkan mereka.
"Kita menyediakan tempat yang selesa (di seluruh negara) dan telah dikoordinasikan.
"Insya-Allah kita mentafsirkan pada esok atau tiga hari lagi (selepas pendaftaran dibuka), ratusan pada permulaan dan tidak mustahil ribuan kerana banyak kebaikan akan mereka perolehi jika hadir ke pusat pemulihan ini," tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pendaftaran boleh dibuat dengan menghubungi pusat panggilan Jakim di talian 03-88707294 / 7295 / 7296; Bilik Situasi, Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara di talian 03-88880733 atau di Jabatan Agama Islam Negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah.
Sementara itu, Sirajuddin memaklumkan pasukan yang terdiri daripada pegawai di peringkat Persekutuan dan negeri telah dibentuk bagi program pemulihan ahli-ahli GISB.
Ujar beliau, sebanyak empat modul akan digunakan sepanjang program rehabilitasi secara sukarela itu.
"(Proses penilaian ini) akan melihat sejauh mana penerimaan mereka terhadap pemulihan yang kita laksanakan.
"Tempoh yang kita anggarkan selama 90 hari itu sudah memadai. Namun begitu, setiap insan ini ada perbezaan dengan yang lain. Jika memerlukan bimbingan yang lebih terperinci, kita akan ada proses bimbingan susulan terhadap mereka.
"Ada empat modul secara umumnya iaitu model pemulihan akidah; latihan kemahiran; kenegaraan; dan pendidikan kaunseling. Setiap modul ada agensi berkaitan akan urus berdasarkan bidang masing-masing," kata beliau.