Pendaftaran Pejuang: Saya akan buat keputusan seperti diperintahkan mahkamah - Hamzah
Fareez Azman
Jun 25, 2021 15:25 MYT
Jun 25, 2021 15:25 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata beliau akan membuat keputusan berhubung permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk didaftarkan sebagai parti politik.
Ia seperti mana diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam keputusannya hari ini.
"Yalah dia (mahkamah) suruh buat keputusan, saya akan buat keputusan.
"Saya akan buat keputusan atas rayuan tersebut," katanya dalam sidang media sesi penyerahan surat pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara di Pejabat Kementerian Dalam Negeri di sini pada Jumaat.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Hamzah untuk membuat keputusan berhubung permohonan Pejuang untuk didaftarkan sebagai parti politik.
Hakim Ahmad Kamal Md Shahid dalam penghakimannya menyatakan keputusan itu perlu dibuat dalam tempoh 14 hari mulai Jumaat.
Keputusan itu selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Pejuang untuk meminta Menteri Dalam Negeri membuat keputusan berhubung rayuan parti itu.
#Pejuang
#Menteri Dalam Negeri
#Hamzah Zainudin
#Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
#daftar Pejuang
#parti politik
#semakan kehakiman