Pendaftaran PADU Fasa 2 dibuka selepas Kabinet luluskan - Rafizi

Bernama
November 20, 2024 19:46 MYT
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli ketika sidang media selepas Majlis Sidang Media Program INNOVATHON Musim Kedua hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Pendaftaran PADU fasa kedua akan dibuka selepas Kabinet meluluskan beberapa kriteria yang sedang diperhalusi oleh kementerian yang terlibat, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Ringkasan AI
  • Pembukaan Fasa Kedua PADU: Pendaftaran PADU fasa kedua akan dibuka selepas Kabinet meluluskan beberapa kriteria yang sedang diperhalusi oleh kementerian terlibat.
  • Penyasaran Subsidi RON95: Pelaksanaan subsidi RON95 akan melibatkan dua peringkat - penentuan kelayakan dan operasi di stesen minyak. Kerajaan yakin lebih ramai rakyat akan mendaftar untuk memastikan mereka tidak tercicir daripada bantuan.
  • Kriteria Kelayakan: Golongan berpendapatan tinggi (T15 ke atas) dijangka tidak layak menerima subsidi, sementara lebih ramai rakyat dijangka mendaftar apabila kriteria diumumkan. Setakat ini, 55% isi rumah telah mendaftar di bawah fasa pertama PADU.

Rafizi berkata kerajaan, menerusi kementeriannya dan Kementerian Kewangan sebagai peneraju, sedang memuktamadkan perkara tersebut sebelum dibawa ke peringkat Kabinet.
"Saya telah menyentuh perkara ini di Parlimen. Sebarang bentuk penyasaran subsidi RON95 akan melibatkan dua peringkat pelaksanaan. Pertama di back-end, iaitu penentuan siapa yang layak, dan kedua di front-end, iaitu operasi di stesen minyak.
"Kami telah mengadakan satu mesyuarat minggu lepas, dan perancangan mengenai garis masa serta pelaksanaannya sedang diperincikan. Setelah Kabinet bersetuju, barulah Kementerian Ekonomi, misalnya, boleh mengumumkan garis masa tersebut," katanya.
Beliau yakin, dengan penerangan yang jelas, lebih ramai rakyat akan mendaftar PADU untuk memastikan mereka tidak tercicir daripada sebarang bantuan kerajaan.
"Jika mereka tahu bahawa pengesahan kelayakan penerimaan subsidi RON95 bergantung kepada data PADU tetapi tidak mendaftar, mereka berisiko tercicir.
"Saya percaya sambutan pendaftaran awam akan lebih tinggi berbanding sebelum ini," kata Rafizi.
Setakat ini, sekitar 55 peratus isi rumah telah mendaftar di bawah fasa pertama PADU, dengan majoritinya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.
"Dahulu, terdapat anggapan bahawa golongan M40 tidak akan menerima subsidi. Namun, kerajaan kini memberikan gambaran bahawa golongan T15 dan ke atas sahaja yang tidak layak. Apabila kriteria diumumkan, saya rasa lebih ramai akan mendaftar," jelasnya.
Semasa pendaftaran PADU dibuka awal tahun ini, data menunjukkan kebanyakan golongan berpendapatan tinggi tidak mendaftar kerana menganggap mereka tidak layak untuk menerima subsidi.
-- BERNAMA
#pendaftaran PADU #Rafizi Ramli #kelulusan Kabinet #penyasaran subsidi #terkini
;