Pendaftaran 'online' bagi pembantu rumah mulai 1 Jan 2018

Astro Awani
Disember 12, 2017 16:13 MYT
Permohonan secara terus dan tanpa melalui ejen atau orang tengah itu dijangka mengambil masa antara tujuh dan 16 hari. - Gambar fail
Proses pengambilan pembantu rumah asing kini dipermudahkan dengan majikan boleh membuat permohonan bagi mendapatkan permit khas pembantu rumah daripada Jabatan Imigresen secara atas talian bermula 1 Januari tahun depan.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali, berkata, permohonan secara terus dan tanpa melalui ejen atau orang tengah itu dijangka mengambil masa antara tujuh dan 16 hari.
“Proses pendaftaran pembantu rumah secara atas talian ini kita telah permudahkan dan akan dilancarkan bermula 1 Januari 2018 nanti.”
“Ini akan membolehkan majikan mengambil pembantu rumah mereka secara langsung tanpa melalui orang tengah atau ejen serta tidak akan mengambil masa yang lama untuk mendapatkan keluluasan Jabatan Imigresen,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen di Putrajaya, pagi tadi.
Datuk Seri Mustafar berkata, pengambilan secara terus pembantu rumah asing dari negara sumber dapat mengurangkan kos serta beban majikan.
“Majikan kini hanya perlu membayar antara RM3,500 dan RM4,000, berbanding bayaran kepada ejen atau orang tengah yang mencecah antara RM12,000 dan RM18,000 seorang,” katanya lagi.
Sementara itu, Mustafar berkata, program penggajian dan penempatan semula pendatang tanpa izin atau pati yang akan berakhir 31 Disember ini tidak akan dilanjutkan.
Ini, jelasnya, tempoh yang cukup sudah diberi kepada semua majikan dan pekerja untuk menyertai program berkenaan.
“Rehiring ini sudah bermula dari Februari tahun lepas dengan membenarkan majikan dan pekerja yang layak untuk mendaftar.
“Selepas mengambil biometrik semua pati itu serta membayar kompaun tertentu, majikan akan dibenarkan untuk mengambil semula pekerja berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pendaftaran bagi e-Kad kedua masih dibenarkan sehingga 15 Februari tahun depan dan pekerja hanya perlu hadir ke Jabatan Imigresen untuk proses berkenaan.
#atas talian #Februari #Imigresen #majikan #Mustafar Ali #pati #pembantu rumah #pendaftaran #perhimpunan #Putrajaya
;