Pendaftaran BRIM 2.0 ditutup 15 Mac

Bernama
Februari 7, 2013 11:52 MYT
Kerajaan memutuskan bahawa pendaftaran Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BRIM 2.0) ditutup pada 15 Mac 2013, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini.
"Kami beri tempoh sebulan lagi supaya mereka yang belum memohon akan dapat membuat permohonan.
"Falsafah kerajaan dalam konteks BR1M ialah untuk memastikan semua rakyat yang layak, mendapat BR1M," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada forum ekonomi perbendaharaan di sini.
Ahmad Husni berkata kerajaan mendapati hampir semua pemohon yang layak telah menghantar permohonan mereka dan sehingga kini sebanyak 7.3 juta permohonan diterima.
Bagaimanapun, dalam proses menentukan kelayakan individu mendapat BR1M 2.0, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri mendapati terdapat pemohon yang memohon dua kali, katanya.
"Sekiranya mereka mohon dua kali, satu permohonan akan diketepikan dan hanya satu permohonan yang akan diproses," katanya.
Ahmad Husni berkata statistik akhir jumlah permohonan akan dimaklumkan kemudian.
Beliau berkata semasa pembentangan Belanjawan 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan sejumlah RM3 bilion untuk tujuan itu.
Objektif utama BRIM 2.0 ialah untuk membantu seisi keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dengan peruntukan sebanyak RM500 dan individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan bawah RM2,000 sebanyak RM250.
#BRIM 2.0 #pendaftaran #tutup 15 Mac
;