Pendaftaran baharu BR1M 2017 dilanjut sehingga 13 Jan

Astro Awani
Disember 30, 2016 16:30 MYT
Selain secara atas talian, pendaftaran baharu juga boleh dibuat di mana-mana cawangan LHDN secara percuma.
Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa tempoh pendaftaran baharu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2017 akan dilanjutkan sehingga 13 Januari 2017.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Kementerian Kewangan mengingatkan semua penerima yang layak membuat permohonan secara atas talian di https://ebr1m.hasil.gov.my.
Permohonan juga boleh dibuat di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) secara percuma.
Sebelum ini, kementerian itu menyatakan permohonan dan kemas kini maklumat BR1M 2017 dibuka mulai 5 Dis hingga esok.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan pada pembentangan Bajet 2017 pada 21 Okt lepas mengumumkan pemberian BR1M kepada isi rumah dalam senarai e-Kasih dan berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,200.
Bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000, beliau mengumumkan pemberian BR1M dinaikkan daripada RM800 kepada RM900.
Individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000 pula BR1M dinaikkan daripada RM400 kepada RM450.
#Bantuan Rakyat 1Malaysia #BR1M 2017 #Kementerian Kewangan
;