Pendaftaran AstraZeneca, sistem masih di takuk lama?
Hasimi Muhamad
Mei 2, 2021 13:22 MYT
Mei 2, 2021 13:22 MYT
KUALA LUMPUR: Sambutan terhadap pendaftaran untuk menerima vaksin COVID-19 AstraZeneca yang dibuka secara rasmi pada 12 tengah hari ini nampaknya laris seperti 'pisang goreng panas'.
Tinjauan Astro AWANI di laman sosial termasuk Twitter mendapati rata-rata rakyat Malaysia yang berhasrat mendapatkan vaksin yang dibangunkan oleh AstraZeneca dan Universiti Oxford itu 'berlumba-lumba' untuk mendapatkan slot masing-masing.
Di sebaliknya keterujaan dan kelegaan tersebut, bagaimanapun rata-rata pemohon berdepan masalah infrastuktur dan teknikal semasa proses pendaftaran vaksin berkenaan.
Semakan di laman sosial mendapati kesungguhan pemohon di Kuala Lumpur dan Selangor itu tidak dicerminkan dengan sistem yang cekap, yang digambarkan seolah-olah masih berada di takuk lama.
Sistem yang dibangunkan dipercayai tidak berjaya menampung aliran trafik yang tinggi sehingga mengakibatkan pemohon berdepan kegagalan berkali-kali ketika proses pendaftaran.
Selain itu, hasil tinjauan Astro AWANI antara kebimbangan yang dibangkitkan oleh pengguna media sosial adalah mengenai keupayaan segelintir individu yang tidak mahir menggunakan teknologi termasuk orang dewasa.
Menurut pengguna Twitter Amirul Ruslan, keadaan tersebut memberikan kesukaran untuk kumpulan berkenaan mengisi butiran mereka, selain untuk memahami kod keselamatan captcha.
Selain itu, terdapat juga warganet mendakwa tidak dapat memilih lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV), selain beberapa kali perlu membuat pertukaran lokasi.
Antara lokasi PPV yang didakwa gagal membuat pilihan adalah di di Universiti Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin menerusi kemas kini di laman Twitternya hari ini memaklumkan laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my/ menerima aliran trafik yang tinggi beberapa minit pertama.
Keadaan tersebut dipercayai menjadi punca kepada kekangan yang dihadapi oleh pemohon ketika proses pendaftaran.
Bagaimanapun, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata slot bagi mendapatkan vaksin AstraZeneca masih ada.
Dalam tempoh kurang dua jam, sebanyak 100,000 janji temu telah dibuat dengan masih terdapat 160,000 lagi kekosongan, jelas Khairy.
Susulan itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi kemas kini di laman Twitter memaklumkan pihaknya sedang menyelesaikan masalah yang dihadapi.
"Kami mengambil maklum tentang isu yang dihadapi oleh orang ramai semasa membuat tempahan bagi vaksin AstraZeneca di laman web.
"Isu ini kini sedang diselesaikan. Sila cuba semula sebentar lagi. Kami akan terus memberi makluman terkini kepada anda. Maaf atas sebarang kesulitan," demikian menurut kenyataan tersebut.
Selain Universiti Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia, Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) dan Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC) turut menjadi lokasi PPV.
Astro AWANI sedang mendapatkan JKJAV untuk perkembangan selanjutnya.
#Khairy Jamaluddin
#Twitter
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#Malaysia
#AstraZeneca
#Pendaftaran vaksin AstraZeneca