Pencuri motorsikal mati dipukul penghuni kediaman
Astro Awani
November 24, 2014 21:02 MYT
November 24, 2014 21:02 MYT
Cubaan mencuri motorsikal oleh seorang lelaki tidak berhasil sebaliknya mati dipukul oleh penghuni kediaman tersebut.
Kejadian ini berlaku di sebuah rumah di Taman Desa Rejang Setapak, Kuala Lumpur pada jam 12.45 tengah hari, Isnin.
Salah seorang daripada tiga penghuni yang berada di rumah ketika kejadian adalah ahli bina badan.
Pencuri terbabit dikatakan masuk ke laman sebuah rumah dan mengumpil kunci kenderaan.
Menyedari perkara berkenaan, penghuni rumah bertindak menangkap dan memukulnya.
Dia mati di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan serius di beberapa bahagian anggota badan.
Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Dua daripada penghuni rumah dibawa ke IPD Wangsa Maju untuk siasatan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa mengesahkan kejadian.