Pencuri elektrik guna sambungan haram bawah tanah elak dikesan - Sarawak Energy

Bernama
Disember 12, 2024 23:15 MYT
Sarawak Energy Berhad memaklumkan dua kes terbaharu dikesan semasa pemeriksaan oleh anak syarikatnya, SESCO di Jalan Kapor dan Jalan Stampin Tengah. - Gambar fail/Sarawak Energy
KUCHING: Pencuri elektrik di Sarawak kini dikesan menggunakan taktik melakukan sambungan haram secara terus dengan kabel bawah tanah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Sarawak Energy Berhad memaklumkan dua kes terbaharu dikesan semasa pemeriksaan oleh anak syarikatnya, Syarikat SESCO Berhad (SESCO) di Jalan Kapor dan Jalan Stampin Tengah di sini.
"Mencuri elektrik melalui sambungan secara terus dengan kabel bawah tanah adalah sangat berbahaya kerana tidak mematuhi piawaian keselamatan. Ia menyebabkan risiko termasuk kebakaran, renjatan elektrik dan kerosakan infrastruktur di samping mengancam kestabilan bekalan elektrik yang boleh menjejaskan penduduk sekitar," menurut kenyataan itu hari ini.
Sarawak Energy memaklumkan siasatan awal SESCO mendapati sambungan haram itu dibuat kepada kabel yang disembunyikan di dalam konkrit di luar hartanah kediaman bagi melangkaui meter elektrik.
"Dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya," menurut kenyataan itu.
Sarawak Energy turut meminta orang ramai melaporkan aktiviti kecurian elektrik dengan menghubungi pusat khidmat pelanggan syarikat itu di 1300-88-3111 atau melalui e-mel di customercare@sarawakenergy.com.
-- BERNAMA
#renjatan elektrik #Sesco #Sarawak Energy #denda maksimum
;