Penculikan Semporna: 'Tiada sebab ada cubaan keruhkan hubungan China-Malaysia'
Teoh El Sen
April 5, 2014 08:00 MYT
April 5, 2014 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu melahirkan rasa bimbang beliau kemungkinan insiden penculikan di Semporna adalah angkara pihak tertentu untuk melagakan Malaysia dengan China, ia seharusnya tidak memberikan kesan kepada hubungan sedia ada.
Menurut pensyarah Jabatan Antarabangsa dan Kajian Strategik Universiti Malaya, Dr Roy Anthony Rogers, tiada negara yang akan mendapat manfaat sekiranya hubungan Malaysia-China menjadi keruh.
"Mengapa ada tanggapan wujud rancangan untuk melakukan perkara ini (mengeruhkan hubungan)? Saya berpendapat tiada sebarang agenda tersembunyi, ia hanya satu spekulasi semata-mata," kata Roy Anthony.
Beliau mengulas mengenai laporan bahawa penculikan dua wanita, seorang daripadanya warga China, di sebuah resort di Semporna pada Rabu bermungkinan adalah satu percubaan yang disengajakan untuk meningkatkan lagi ketegangan hubungan antara kedua-dua negara itu ketika Malaysia diuji dengan krisis kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata pada Rabu: "Mungkin ada seseorang yang cuba untuk merenggangkan (hubungan) Malaysia dan China. Mereka mungkin cuba untuk mengambil kesempatan daripada keadaan ini (penculikan)."
Roy Anthony berkata bahawa kedua-dua negara, mempunyai hubungan dua hala lebih 40 tahun iaitu sejak 1974. Kejadian penculikan ini, dianggap sebagai satu perkara kecil (dalam hubungan dua hala) .
"Malaysia-China pernah melalui tempoh yang lebih sukar (sebelum ini) . Misalnya pada kemuncak perang dingin , Parti Komunis Malaya masih wujud, dan China menyatakan sokongan mereka. Meskipun begitu, Malaysia dan China berjaya mengharunginya" kata Roy Anthony.
Beliau menyifatkan situasi semasa hubungan kedua-dua negara ketika ini adalah sekadar satu "titik" atau "fasa".
"Saya faham bahawa emosi bercampur-baur dalam insiden MH370. Ketika ini keadaan tidak menentu, keluarga penumpang adalah dalam keadaan tidak pasti , ia adalah tempoh sukar dan menyeksakan buat mereka.
"Tetapi saya percaya situasi ini tidak akan dianggap sebagai satu "perselisihan" kerana pemimpin kedua-dua negara sudah cukup bijak dan hubungan masih kukuh. Meskipun Kuala Lumpur memerlukan sokongan dari segi ekonomi dan perdagangan dari China, negara China juga memerlukan Kuala Lumpur dalam hubungan perdagangan, diplomatik serta politik terutamanya mengenai isu membabitkan kepulauan Spratly, "katanya.
Roy Anthony berkata kawasan di mana penculikan itu berlaku sememangnya sentiasa terdedah (kepada penculikan) walaupun sebelum insiden kehilangan pesawat MH370 .
"Perlu diingat seorang lagi mangsa yang diculik adalah warga Filipina, dan beberapa bulan lalu warga Taiwan pula. Jadi bagi saya ini semua satu kebetulan, sama seperti juga seorang warga Uighur pada mulanya dikaitkan dengan kehilangan pesawat tersebut," katanya.
Pelancong China Gao Huayuan , 29, pekerja pusat peranginan Marcy Darawan @ Mimi , 40, telah diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Singamata Reef Resort, Semporna kira-kira 10.30 malam pada 2 April yang lalu.