Pencuci pinggan tidak mengaku salah tikam kanak-kanak

Astro Awani
Januari 20, 2020 14:09 MYT
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum 20 tahun penjara, sebat dan denda mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. - Astro AWANI
Seorang pencuci pinggan tidak mengaku salah atas pertuduhan menikam seorang kanak-kanak hingga cedera parah dalam kejadian 12 Januari lalu.
Tertuduh Mohamad Nor Akmal Jamalludin, 27 tahun, membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicara selepas jurubahasa membaca pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen, Sungai Petani, Najwa Che Mat.
Mengikut pertuduhan, tertuduh pada tarikh tersebut jam 2.30 petang telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Nur Adawiyah Safiyya Zulkefeli, 5 tahun.
Kejadian didakwa berlaku di No 86, Kampung Keda, Che Bema, Sungai Layar, di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum 20 tahun penjara, sebat dan denda.
Hakim Najwa Che Mat membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 18 Febuari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurdiyanasari Omar.
#cedera #cedera parah #ikat jamin #Kanak-kanak #Kanun Keseksaan #mahkamah #Mohamad Nor Akmal Jamalludin #pencuci pinggan #penjara #Sungai Petani #suspek #tikam
;