Pencinta kucing sedia pusat pemindahan untuk kucing mangsa banjir

Astro Awani
Januari 9, 2021 18:40 MYT
Jurina berkata, sebanyak 110 kucing jalanan dan peliharaan yang terperangkap ketika banjir telah diselamatkan.
KUANTAN: Jika manusia yang menjadi mangsa banjir, mereka akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) lengkap dengan khemah dan makan serta minum, tetapi bagaimana pula dengan sahabat manusia seperti kucing?
Kerana perasaan kasih kepada haiwan ini, Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang mengambil inisiatif membantu kucing-kucing yang menjadi mangsa banjir samada kucing jalanan atau peliharaan di sekitar Kuantan.
Pengerusinya, Jurina Abdul Rani berkata, sebanyak 110 kucing jalanan dan peliharaan yang terperangkap ketika banjir melanda baru-baru ini telah diselamatkan dan ditempatkan di tiga rumah perlindungan kucing kendalian mereka.
"Jadi kalau banjir macam ini, kami rasa sudah menjadi tanggungjawab untuk kami selamatkan kucing. Jadi atas nama kelab, kami tubuhkan pasukan untuk membantu kucing yang menjadi mangsa banjir.
"Kami amat simpati dengan nasib kucing terbabit. Sebenarnya jarang orang selamatkan kucing dalam banjir kerana biasanya keutamaan dalam bencana adalah nyawa manusia.
"Kucing ini pun jika mati di kawasan banjir dan dibiarkan bangkainya tidak ditanam, ia mungkin menjadi punca wabak penyakit kepada manusia. Jadi kami mengambil tanggungjawab itu untuk menyelamatkan haiwan ini.
"Lebih-lebih lagi musim banjir macam ini, sebab kucing tak boleh tempat sejuk... bila sejuk ia cepat sakit dan seterusnya boleh mati," katanya di sini, hari ini.
Tambah Jurina, kesemua kucing-kucing yang diselamatkan dibawa ke tiga pusat kendalian mereka iaitu Pusat Perlindungan Kesihatan dan Jagaan Kucing di Bukit Pelindung dan Chengal di Kuantan selain Kampung Langgar di Pekan.
Katanya, selain menyelamatkan kucing mereka turut mengambil langkah proaktif menanam bangkai kucing yang ditemui bagi mengelakkan masalah lain.
Katanya, kelab yang mempunyai ahli seramai 120 orang sejak 2012 itu turut menghulurkan bantuan kepada pemilik haiwan peliharaan itu ketika mereka bergelut untuk berpindah ke PPS.
Pusat perlindungan ini menyediakan makanan, membersihkan serta memberi rawatan serta penjagaan khusus menggunakan dana sendiri.
Katanya mereka turut mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada orang ramai.
#kucing #mangsa banjir #Pusat Pemindahan Sementara #Kuantan #banjir pahang #Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang
;