Pencerobohan Zionis di Palestin isu kemanusiaan sejagat, bukan agama semata-mata

Ridauddin Daud
Mei 22, 2022 17:46 MYT
Datuk Idris Ahmad hadir pada Majlis Perasmian Penutup Sidang Kemuncak Ulama Islam Mengenai Perpaduan Sebagai Asas Pembebasan Masjidil Aqsa di Sepang, pada Ahad. - Gambar Astro AWANI
SEPANG: Isu pencerobohan rejim Zionis di Palestin bukan hanya isu agama tetapi merupakan isu kemanusiaan sejagat tanpa mengira agama, bangsa dan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, sudah bertahun lamanya rakyat Palestin dinafikan hak untuk duduk di tanah air sendiri dan usaha membebaskan mereka perlu diteruskan dari semasa ke semasa.
Tegas beliau, usaha membebaskan Gaza bukan tanggungjawab rakyat Palestin dan negara Arab semata-mara, sebaliknya, menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam.
"Ayuh kita mengambil ibrah daripada kisah Pembebasan Masjidil Aqsa oleh Solahuddin Al-Ayubi. Sebagai seorang Muslim, beliau telah menghabiskan keseluruhan hayatnya berkorban sehingga pembebasan al-Aqsa menjadi kenyataan.
"Formula kejayaan Solahuddin Al-Ayubi adalah penyatuan ummah. Penyatuan umat Islam daripada sebarang perpecahan dan pertelingkahan sesama sendiri yang amat merugikan.
"Pada hari ini, kita dapat lihat kembali perpecahan yang berlaku dalam umat Islam. Kita berbalah sesama sendiri. Adakalanya kita bergaduh dalam isu-isu ranting dan kecil. Ini adalah amat merugikan kita.
"Oleh itu, perlunya kita mengembalikan kesatuan umat Islam ini sebagai usaha kita untuk membebaskan Bumi Al-Quds ini daripada cengkaman rejim zalim Israel Zionis," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Sidang Kemuncak Ulama Islam Mengenai Perpaduan Sebagai Asas Pembebasan Masjidil Aqsa di sini, pada Ahad.
Tambah beliau, perjuangan pembebasan Masjid Al-Aqsa dan bumi Palestin bukanlah asing buat Malaysia, malah kerajaan konsisten akan terus memberi sokongan kepada negara itu dari segi politik, ekonomi dan moral.
"Solidariti itu dibuktikan dengan pendirian negara terus teguh untuk tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara haram Israel selain mengutuk terhadap siri pencerobohan yang dilakukan di bumi Palestin.
"Bumi Palestin menjadi tempat pertembungan dan perebutan di antara kuasa-kuasa besar dunia sejak dahulu lagi.
"Bumi Palestin ini juga akan menjadi titik kepada kemuncak pertembungan akhir antara golongan hak dan batil apabila tiba masa dan ketikanya yang akan ditentukan oleh Allah SWT," ujarnya.
Sehubungan itu, Idris berharap persidangan selama tiga hari itu menjadi titik tolak kepada kesatuan umat Islam, bukan hanya di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa.
#Palestin #Zionis #kemanusiaan sejagat #Masjid Al-Aqsa
;