Pencerobohan haiwan ternakan sebab kemalangan
Astro Awani
Mei 4, 2014 15:39 MYT
Mei 4, 2014 15:39 MYT
Pencerobohan haiwan ternakan dan binatang liar ke kawasan lebuh raya sehingga menyebabkan kemalangan bukan perkara baru.
Kebimbangan sama, kini dikongsi pengguna Lebuh raya Pantai Timur yang turut tidak terlepas daripada ancaman haiwan berkeliaran.
Malah pengguna juga sering dikejutkan haiwan liar seperti babi hutan melintas terutamanya pada waktu malam.
Tinjauan Astro AWANI mendapati antara kawasan paling bahaya adalah di antara KM333 hingga KM340 dari kedua-dua arah berhampiran Dungun,Terengganu.
Keadaan bertambah buruk kerana pagar lebuh raya di musnahkan pihak tidak bertanggungjawab sekali gus membuka ruang bagi haiwan menceroboh lebuh raya berkenaan.
Beberapa bangkai lembu yang dirempuh kenderaan menjadi bukti agar masalah ini diambil serius pihak bertanggungjawab.
Pada Sabtu, Kamariah Ismail maut manakala adiknya Che Ana Ismail, parah apabila kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki bersama lima ahli keluarga lain merempuh seekor lembu sebelum terbalik di KM337.
Manakala pada Rabu lalu, Noriza Mohd nyaris maut selepas kereta yang dipandunya terlanggar babi hutan yang melintas di KM340 lebuhraya terbabit kira-kira jam 9 pagi.