Pencerobohan bot pukat tunda jejas pendapatan nelayan pantai

Tan Su Lin
Februari 12, 2014 09:01 MYT
Dahulu RM12,000 sebulan, sekarang hanya RM4,000 sebulan.
Begitulah nasib nelayan pantai, Yasir Mohammed, 51 tahun yang mendapat pendapatan lumayan daripada meraih hasil laut di pesisiran Kuala Selangor sebelum aktiviti pencerobohan bot pukat tunda yang berleluasa di kawasan berkenaan.
Kini dia hanya berupaya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
"Saya baru balik dari laut hari ini dan mungkin gaji saya tidak sampai RM20 pun sebab kawasan saya jaring tadi mungkin sudah ditarik pukat tunda yang telah ceroboh zon kami malam tadi." kata Yasir yang telah menjadi nelayan selama 15 tahun.
Yasir mendakwa sebelum musim tengkujuh lalu sekitar bulan Oktober kelibat bot-bot pukat tunda kerap kelihatan memasuki kawasan zon pesisiran pantai mereka.
"Sebelum itu ikan pun sudah berkurangan sejak musim tengkujuh lalu dia masuk balik sebab tidak ada larangan yang mengatakan kawalan jaga tempat ini." tambah Yasir lagi.
Nasib sama turut dikongsi nelayan udang, Ong Lui Hap apabila pencerobohan bot pukat tunda di kawasan itu telah mengakibatkan tangkapan udang berkurangan sebanyak 50%.
Sebelum bot pukat tunda masuk, hasil tangkapan udang Ong sekitar 9-10 kilogram sehari, kini hanya mampu meraih kira-kira 4-5 kilogram sahaja.
"Kami keluar tangkap udang tapi tidak dapat banyak sebab bot pukat tunda masuk kawasan kami. Habis semua permukaan dasar laut rosak diheret pukat tunda mengakibatkan kami tidak dapat menangkap udang." kata Ong.
Modus operandi bot pukat tunda adalah menjalankan aktiviti memukat tunda pada waktu tengah malam untuk mengelak daripada dikesan.
Amir Sumairi, seorang lagi nelayan pantai berkongsi pengalaman bertembung dengan bot pukat tunda di perairan.
"Malam-malam dia tidak akan pasang lampu dan nombor lesen bot di hadapan akan ditutup. Tetapi kita boleh mendengar deruan enjin bot. Selalunya kita jumpa sekitar pukul 2 atau 3 pagi. Waktu itu, semua orang tengah lena." kata Amir.
Tambahnya pemantauan pihak berkuasa selalunya dilakukan pada waktu siang dan bukannya malam di mana aktiviti bot pukat sering berlaku.
Ini menjadikan komuniti nelayan di perkampungan itu nekad menghentikan pencerobohan di perairan mereka dengan menubuhkan pasukan pemantauan khas "Skuad Fish" bagi memantau aktiviti pukat tunda.
Yasir dan rakan-rakannya juga pernah cuba menghalau bot-bot berkenaan daripada memasuki kawasan mereka.
Namun cubaan mereka tidak berjaya, malah pernah diancam bot pukat tunda yang jauh lebih besar saiznya.
"Sebelum ini saya dan kawan-kawan ada cuba menghalang pukat tunda memasuki kawasan kami. Kami cuba menghalau bot-bot tersebut. Tetapi mereka berdegil juga dan tidak menghiraukan kami. Untuk elak pergaduhan kami biarkan sahaja dan sekarang tiada tempat untuk kami mengadu." keluh Yasir.
Dia juga melihat kurangnya penguatkuasaan dan pemantauan yang mendorong kepada aktiviti itu menjadi lebih berleluasa.
Kini Yasir terpaksa membeli ikan dari luar untuk dijual di gerainya di Pasar Nelayan Sungai Yu untuk menampung pendapatan keluarganya.
Mengikut undang-undang maritim, bot pukat tunda tidak dibenarkan memasuki kawasan penangkapan zon A iaitu jarak kurang 5 batu nautika daripada pesisir pantai.
Hanya bot yang kecil yang mempunyai lesen kelas A dibenarkan menangkap ikan di kawasan pesisir pantai berikutan zon berkenaan amat sensitif iaitu kawasan terumbu karang yang menjadi habitat kepada benih-benih ikan dan hidupan laut yang lain.
Justeru adalah harapan para nelayan pantai di Kampung Sungai Yu agar pihak berkuasa meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan keras terhadap pihak tidak bertanggungjawab mengaut habis hasil laut itu.
Ini kerana penangkapan ikan yang tidak terkawal itu juga memberi kesan kepada kemusnahan ekosistem perairan negara.
#Kuala Selangor #nelayan #pukat tunda
;