Penceroboh Sulu enggan berundur, rela mati di Lahad Datu
Astro Awani
Mac 2, 2013 16:03 MYT
Mac 2, 2013 16:03 MYT
Saki baki penceroboh bersenjata daripada kumpulan pengikut Sultan Sulu memutuskan enggan berundur keluar dari kubu mereka biarpun mula bertempur dengan pihak berkuasa pada Jumaat sebaliknya memilih untuk mati di Lahad Datu, lapor stesen berita ABS-CBN di Filipina.
Laporan itu memetik kenyataan anak perempuan kepada Sultan Jamalul Kiram III yang membacakan sepucuk surat daripada bapa saudaranya, Agbimuddin Kiram dalam satu sidang media di Manila.
"Selepas kami mengebumikan sembilan saudara lelaki dan seorang wanita (pada Jumaat), semua 224 yang tinggal memutuskan untuk mati di Lahad Datu demi meneruskan cita-cita dan aspirasi mereka … dan menyerahkan nasib kepada Allah,'' kata Jaycel Kiram yang membaca surat berkenaan.
Dalam pertempuran pada Jumaat, 2 komando Polis Diraja Malaysia terbunuh. Kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah,Datuk Hamza Taib menyebut 12 penceroboh terkorban.
Kumpulan penceroboh itu mula memasuki mendarat di Lahad Datu sejak 9 Februari lalu dan berkubu di Kampung Tanduo yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar itu.
Laporan media itu juga memetik kenyataan jurucakap Sultan Sulu, Abraham Idjirani bahawa pertempuran antara pihak berkuasa Malaysia dan kumpulan penceroboh itu belum lagi selesai.
Beliau bagaimanapun mengesahkan bahawa tiada pertempuran berlaku sejak pukul 8 malam Jumaat sehingga awal pagi ini.
Idjirani juga mengesahkan 10 anggota kumpulan penceroboh itu telah ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia tetapi beliau menegaskan mereka bukan menyerah diri.
Dalam pada itu, Jaycel berkata, tiada sebarang arahan kepada kumpulan berkenaan untuk berundur dan pulang ke Filipina.
Sultan Sulu dan pengikutnya menuntut kedaulatan mereka diiktiraf. Pada masa sama, mereka juga mahu terma pajakan ke atas wilayah yang hari ini dikenali sebagai Sabah yang dipersetujui dengan sebuah syarikat Britain pada kurun ke-19 dirunding semula.
Mereka mahu satu perjanjian yang ditaja oleh Manila dimeterai antara waris Kesultanan Sulu dengan Malaysia untuk mengiktiraf tuntutan mereka ke atas Sabah.
Manila bagaimanapun menolak desakan itu dan memberi amaran kumpulan penceroboh itu berdepan tindakan undang-undang kerana memasuki wilayah asing dengan bersenjata.
Wilayah yang dikenali sebagai Borneo Utara atau hari ini merupakan sebahagian daripada Sabah diberikan oleh Kesultanan Brunei kepada Kesultanan Sulu sebagai ganjaran membantu Sultan Brunei menentang pemberontah pada abad ke-17.
Ia bagaimanapun disahkan sebagai sebahagian wilayah Malaysia berdasarkan kepada pilihan yang dibuat oleh rakyat Sabah semasa siasatan Suruhanjaya Cobbold pada 1962 yang membawa kepada pembentukan Malaysia.
Keputusan rakyat Sabah itu juga disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu setahun kemudian.