Penceramah meninggal dunia semasa sampaikan kuliah Subuh

Afiezy Azaman
Julai 31, 2023 08:43 MYT
Allahyarham Mohd Soberi Awang meninggal dunia pada usia 59 tahun ketika menyampaikan kuliah Subuh di Surau Al-Ittihadiyah, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor, pada Ahad.
KUALA LUMPUR: Pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd Soberi Awang meninggal dunia ketika menyampaikan kuliah Subuh di Surau Al-Ittihadiyah, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor, pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, hasil bedah siasat mendapati Mohd Soberi meninggal dunia akibat serangan jantung.
Katanya, kejadian berlaku sekitar jam 7.45 pagi ketika Mohd Soberi yang berumur 59 tahun sedang menyampaikan kuliah Subuh.
"Mangsa dilihat menahan kesakitan dan terus tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam.
"Bagaimanapun mangsa telah disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Mohd Iqbal berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Terdahulu, tular di media sosial video Mohd Soberi yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dilihat menahan kesakitan semasa menyampaikan kuliah Subuh bertajuk 'Hari Kiamat'.
Allahyarham juga kedengaran memohon maaf kepada jemaah ketika memaklumkan beliau mengalami sakit dada sejak lima hari (sambil menekan dadanya) serta meneguk air sebelum rebah.
#penceramah meninggal dunia #kuliah subuh #Mohd Soberi Awang #pensyarah USIM
;