Penceramah luar masih tidak dibenar mengajar di Perak

Sinar Harian
Oktober 8, 2023 14:42 MYT
Saarani (tiga dari kiri) ketika hadir ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Negeri Perak di Dewan Masjid Tuminah Hamidi pada Ahad. - Foto Sinar Harian
IPOH: Semua penceramah dari luar negeri Perak masih tidak dibenarkan mengajar atau bersyarah di dalam masjid di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan itu masih dikekalkan berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada Ogos lalu sehingga garis panduan baharu dikeluarkan.
Menurutnya, garis panduan baharu tersebut dijangka akan dibentangkan terlebih dahulu di dalam Persidangan MAIPk pada 2 November depan sebelum dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk diperkenankan.
"Setakat ini pekeliling sedia ada masih dikekalkan sehingga pada Persidangan MAIPk pada 2 November. Syarat-syarat baharu itu telah ada. Garis panduan baharu itu akan dibahaskan dalam Persidangan MAIPk nanti.
"Jika dipersetujui, kita akan persembahkan kepada Sultan Nazrin untuk perkenan baginda dan selepas itu kita akan keluarkan pekeliling baharu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas hadir ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Negeri Perak di Dewan Masjid Tuminah Hamidi di sini pada Ahad.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Perkim Perak, Datuk Mohd Najmuddin Elias; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya Orang Besar Jajahan Bagan Datuk Datuk Dr Khalid Ismail dan Tokoh Agama Perkim Perak, Datuk Mohammad Kazim Elias.


Saarani (empat dari kiri) turut bergambar bersama orang ramai yang hadir ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Negeri Perak di Dewan Masjid Tuminah Hamidi di sini pada Ahad.
Pada 23 Ogos lalu, JAIPk mengumumkan penangguhan sesi mengajar dan bersyarah oleh semua penceramah agama termasuk dari luar negara berkuat kuasa serta-merta pada Rabu.
Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, penangguhan dilakukan membabitkan semua masjid, surau diri Jumaat dan surau yang berdaftar dengan jabatan itu.
Menurutnya, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak ketika ini sedang membuat penambahbaikan terhadap garis panduan permohonan penceramah dan pengajar sebagai usaha penyusunan semula konsep dakwah agar selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Asyairah dan Maturidiah.
Ketetapan tersebut bagaimanapun dikecualikan ke atas individu sebagaimana di Peraturan 23 (1) (a) hingga (e), (2) dan (3) Peraturan-peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama 2013.
Peraturan 23 (1) antara lain menyebut, peraturan-peraturan tersebut tidak terpakai bagi anggota Majlis; mufti mana-mana negeri di Malaysia; pegawai agama; guru agama yang dilantik kerajaan dan mana-mana orang yang pada pendapat Majlis mempunyai kelayakan dan pengalaman yang bersesuaian.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#penceramah luar Perak #Saarani Mohamad #Jabatan Agama Islam Perak #Sultan Perak
;