Penceramah bebas direman lima hari bantu siasatan kes rogol remaja
Astro Awani
Julai 19, 2022 15:27 MYT
Julai 19, 2022 15:27 MYT
SUNGAI BESAR: Seorang penceramah bebas bergelar ustaz direman lima hari berhubung satu siasatan kes rogol membabitkan remaja perempuan bawah umur.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi Subramaniam berkata perintah reman dikeluarkan Majistret Rozlizi Sulaiman selepas suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Besar siang tadi.
Beliau berkata hasil siasatan awal polis mendapati, pengadu berkenalan dengan suspek yang berusia sekitar 30an itu sejak Mei 2021.
Bermula dari perkenalan tersebut, pengadu dan suspek dipercayai telah beberapa kali melakukan hubungan intim di beberapa lokasi yang berbeza.
Bertindak dari maklumat tersebut, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor telah berjaya membuat tangkapan ke atas suspek jam 4.50 petang semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.