Penceramah bebas direman disyaki rogol kenalan wanita

Astro Awani
November 27, 2020 12:43 MYT
Suspek (kiri) yang juga bekas peserta program realiti pendakwah berusia 25 tahun itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Shah Alam kira-kira jam 9 pagi tadi. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Seorang penceramah bebas ditahan reman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes merogol seorang wanita di sebuah rumah di Seksyen 7 Shah Alam pada tahun lalu.
Perintah reman dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Shah Alam, Mohd Zamir Suhaime sehingga Selasa depan.
Terdahulu suspek yang juga bekas peserta program realiti pendakwah berusia 25 tahun itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Shah Alam kira-kira jam 9 pagi tadi.
Dia ditahan pada pukul 11 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, tangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 23 tahun pukul 7.18 malam kelmarin.
ACP Baharuddin dalam satu kenyataan berkata siasatan awal mendapati mangsa keluar dengan lelaki itu yang dikenalinya menerusi laman sosial Instagram pada 11 September tahun lalu.
Tujuan pertemuan itu adalah bagi berbincang berkenaan masalah kemurungan yang dihadapi mangsa dengan kaedah perubatan Islam.
Suspek kemudian telah membawa mangsa makan di sebuah kedai sebelum balik ke rumah dengan alasan untuk memberikan penerangan mengenai penyakit kemurungan
Mangsa berusia 23 tahun yang didakwa diperkosa diberikan amaran supaya merahsiakan kejadian itu sebelum dihantar pulang keesokan harinya menggunakan kenderaan e-hailing ke rumahnya di Subang Jaya.
Mangsa dikatakan mengalami tekanan perasaan yang teruk menerima rawatan psikitari di Hospital Kajang pada 23 September tahun lalu
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
#Instagram #Islam #Kajang #Subang Jaya #shah alam #laman sosial #perubatan #pendakwah bebas dituduh merogol #suspek #mangsa
;