Penceramah bebas didakwa cabul ahli keluarga sendiri

Nur Fazlizai Ali
November 23, 2022 07:37 MYT
Tertuduh yang berusia 61 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman. - Foto Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Seorang penceramah bebas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang juga ahli keluarganya.
Bagaimanapun tertuduh yang berusia 61 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang berusia lima tahun sembilan bulan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara 4 Mac hingga 6 Mac lalu di sebuah rumah bot di Hulu Terengganu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Selain itu mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berhampiran selain tidak dibenarkan menganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili Mohd Ridzuan Muhamad.
#penceramah bebas #amang seksual #cabul ahli keluarga #Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu