Pencen penjawat awam: Perlu libat urus yang sesuai, pengumuman teratur - Ong Kian Ming
Astro Awani
Februari 2, 2024 13:35 MYT
Februari 2, 2024 13:35 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan wujud libat urus sewajarnya sebelum membuat pengumuman rasmi berkaitan cadangan pemansuhan skim pencen bagi penjawat awam baharu.
Demikian pandangan disuarakan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming yang berkata, cadangan menyemak semula terma pekerjaan penjawat awam itu patut dinilai secara sistematik dan terancang, bukan tergesa-gesa dan sembarangan.
"Untuk satu perubahan dasar yang penting sebegini, kerajaan perlu memastikan adanya libat urus yang sewajarnya serta sokongan pemegang taruh sebelum pengumuman rasmi dibuat.
"Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan adalah antara pemegang taruh utama yang perlu dilibatkan," katanya.
Ong berkata, satu rancangan komunikasi yang menyeluruh perlu dirangka supaya apabila pengumuman dibuat, dengan sokongan terbuka pemegang taruh berkaitan, "perubahan dasar ini tidak boleh 'dipusing' dan digunakan untuk menyerang kerajaan dengan cara yang tidak tepat".
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi beberapa isu yang perlu dibincangkan dengan teliti oleh kerajaan, termasuk skim semakan gaji untuk penjawat awam sedia ada dan mereka yang bakal dilantik di bawah skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, pekerjaan jangka panjang, manfaat dan elaun yang diterima.
Isu lain adalah:
* Proses dan ketelusan untuk naik pangkat di setiap peringkat.
* Pembangunan bakat dan peningkatan bakat dalam kalangan penjawat awam.
* Cabaran-cabaran pengurusan sumber manusia lain seperti permohonan berpindah atau tidak berpindah.
Tidak kurang pentingnya, implikasi kewangan menyeluruh untuk perubahan dasar ini supaya pasaran kewangan dapat diyakinkan bahawa ia tidak akan memberi impak negatif terhadap perbelanjaan kerajaan dalam jangka masa panjang.