Pencen penakat bantu ringankan beban ibu tunggal besarkan anak
Bernama
April 3, 2024 18:03 MYT
April 3, 2024 18:03 MYT
MELAKA: Kesedihan Nurulasikin Ismail, 46, yang kehilangan suami, Saifulnizam Razak secara mengejut pada awal Ramadan sedikit terubat apabila dimaklumkan menerima pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Nurulasikin berkata suaminya meninggal dunia akibat penyakit asma dan dia tidak mengetahui bahawa arwah suaminya yang bekerja sendiri mengambil upah mengecat rumah dan membersihkan inap desa merupakan pencarum Perkeso.
"Pada mulanya saya tidak tahu suami ada mencarum Perkeso tetapi ibu mentua saya buat semakan dan kami cuba buat permohonan, Alhamdulillah berjaya dan proses lancar dan mudah.
"Pencen yang diterima ini amat bermakna buat saya untuk meneruskan kehidupan membesarkan empat lagi anak yang masih bersekolah kerana dua lagi anak berusia 19 dan 20 tahun telah bekerja bagi ringankan beban keluarga," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Nurulasikin ditemui selepas Program Penyampaian Faedah Skuad Perkeso Prihatin di rumahnya di Bukit Katil yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem serta Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar.
Nurulasikin yang bekerja separuh masa di sebuah pasar raya di Ayer Keroh menerima pencen penakat sebanyak RM1,418.75 sebulan selain faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 secara sekali bayar.
Beliau berkata pencen yang diterima akan digunakan sebaik mungkin untuk membesarkan anak yang masih bersekolah dan berterima kasih atas keprihatinan Perkeso.
Sementara itu, Ngwe berkata pencen penakat yang diterima diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk pendidikan anak-anak sekali gus memberi sedikit keselesaan.
"Saya berharap individu yang bekerja sendiri dan belum mencarum Perkeso dapat segera melakukannya bagi memastikan mereka dan keluarga dilindungi sekiranya kemalangan atau sakit ketika bekerja," katanya.
Beliau berkata pekerja yang mempunyai majikan pula perlu memastikan majikan mencarum dengan Perkeso dan jika tidak aduan boleh disalurkan ke Pejabat Perkeso Melaka bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
-- BERNAMA