Pencen dan pelarasan gaji dijamin, perkembangan karier lebih baik dengan SSPA

Israr Khalid
Oktober 22, 2024 11:25 MYT
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, menyeru semua pegawai awam segera memilih opsyen SSPA kerana banyak kelebihannya.
PUTRAJAYA: Lebih 1.4 juta pegawai awam diberi tempoh 40 hari mulai 21 Oktober hingga 30 November ini untuk memilih opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebelum ia berkuatkuasa pada 1 Disember 2024.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, menyeru agar semua pegawai awam segera berbuat demikian kerana banyak kelebihan dapat dinikmati di bawah sistem tersebut, antaranya pelarasan gaji dan perkembangan karier yang lebih baik.
Seiring penambahbaikan sistem saraan itu, tegas beliau, pegawai awam diharap dapat mempertingkat mutu kerja dan kecekapan perkhidmatan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju.
“Ini kerana rakyat mahu lihat, apabila ada perubahan kepada pelarasan gaji, sejauh mana peningkatan sistem penyampaian dapat dilaksanakan oleh pegawai awam.
“Insya-Allah saya percaya, dengan iltizam seluruh pegawai awam di Malaysia, kita akan dapat lihat satu lonjakan baharu dalam sistem penyampaian di negara kita.”
Beliau berkata demikian selepas mengetuai Majlis Menandatangani Opsyen Baharu SSPA, di sini pada Isnin, yang turut disertai oleh 75 warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terdiri daripada ahli-ahli mesyuarat pengurusan tertinggi dan pegawai pelbagai kumpulan perkhidmatan.
Pelarasan gaji baharu untuk pegawai awam bertaraf tetap dan pegawai awam lantikan kontrak (COS) bakal diterima seawal Disember ini, dengan gaji permulaan terendah dalam perkhidmatan awam ditingkatkan kepada RM1,500 sebulan.
Sementara pegawai awam yang tidak memilih opsyen SSPA dan mahu kekal di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) masih akan menerima pencen, tetapi tiada pelarasan gaji.
Begitu pun, Wan Ahmad Dahlan memberi jaminan bahawa takkan wujud layanan berbeza kepada mereka yang memilih untuk terus berada di bawah SSM.
Para pegawai awam yang menandatangani persetujuan mengikuti SSPA pada majlis hari ini menyambut baik usaha Kerajaan ini, menyifatkan ia sebagai tindakan bernas bagi menyuntik semangat untuk mereka berkhidmat dengan lebih baik.
“Tiga elemen penting SSPA ini adalah sistem persaraan itu sendiri, keduanya pembangunan organisasi secara menyeluruh dan ketiganya pembangunan bakat.
“Ia selaras dengan tumpuan Kerajaan ketika ini khususnya dalam membangunkan bidang fokus perkhidmatan awam antara lainnya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), transformasi digital dan sekuriti siber,” ujar Pegawai Tadbir Diplomatik Sharon Kumari a/p Sandanasamy.
Kata Pegawai Tadbir Diplomatik, Au Yeong How pula, sistem saraan baharu ini cukup komprehensif dan dibentuk untuk memenuhi keperluan semasa pegawai awam mendepani dunia hari ini.
“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah merangka sistem ini dari awal tahun lagi dengan melibatkan seluruh warganya”.
“Semua perincian dijaga, jadi fleksibilitinya boleh saya kata dari A sampai Z.”
Sementara Pegawai Tadbir Diplomatik Andy Anak Romeo pula memberitahu, manfaat SSPA merangkumi keanjalan dalam banyak perkara, memberi contoh kemudahan untuk memohon cuti paterniti untuk menjaga anak baru lahir sehingga setahun.
“Kalau dulu kita perlu menunggu giliran mengikut ‘batch’ untuk naik pangkat walaupun ada kekosongan, tapi kini dengan SSPA, kalau kita berprestasi cemerlang, kita boleh terus naik dengan sokongan dan perakuan ketua jabatan.”
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.
Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa iaitu Fasa I bermula 1 Disember 2024, sementara Fasa II bermula 1 Januari 2026.
Sebagai tambahan, KSN, KPPA serta turus ke atas tidak akan ambil pelarasan gaji Disember ini sebagai tanda sokongan kepada usaha Kerajaan MADANI kepada rakyat.
#JPA #SSPA #Jabatan Perkhidmatan Awam #Sistem Saraan Perkhidmatan Awam
;