Pencemaran udara: Dua PPS akan dibuka, penduduk dipindahkan

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 16, 2022 20:49 MYT
Chow yang mengadakan lawatan ke tapak pelupusan sampah terbabit petang tadi berharap pihak berkenaan meningkatkan lagi mutu pengurusan di kawasan itu. - Foto ihsan Buletin Mutiara
GEORGE TOWN: Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah bagi memindahkan kira-kira 400 penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru, di Nibong Tebal , Pulau Pinang ekoran masalah pencemaran udara.
Pembukaan PPS berkenaan susulan kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, yang berlaku sejak Rabu lalu yang masih belum padam sepenuhnya sehingga kini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang sudah melakukan pemantauan kualiti udara di tiga lokasi iaitu Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Dewan MPKK Changkat dan Dewan MPKK Kampung Kebun Baru.
“Berdasarkan pemantauan didapati terdapat kandungan gas yang boleh memberi risiko kesihatan.
“Justeru, 86 keluarga yang tinggal di lokaliti Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dinasihatkan untuk berpindah buat sementara waktu,” kata kenyataan tersebut.
Selain itu, katanya JAS juga menempatkan stesen pengawasan kualiti mudah alih di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram.
Sehubungan itu, orang ramai yang mengalami gejala sesak nafas dan tidak sihat diminta mendapatkan rawatan segera dan mereka juga diingatkan untuk terus mematuhi nasihat kesihatan dengan mengurangkan melakukan aktiviti luar.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow kesal dengan insiden terbabit.
Beliau yang mengadakan lawatan ke tapak pelupusan sampah terbabit petang tadi berharap pihak berkenaan meningkatkan lagi mutu pengurusan di kawasan itu .
Jelasnya, kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal dan beberapa pihak lain bagi menangani risiko pencemaran udara yang dihadapi penduduk sekitar kawasan itu.
Terdahulu, tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.19 hektar dilaporkan terbakar dalam kejadian jam 4.43 petang, Rabu lalu.
Anggaran keluasan yang terlibat dengan kebakaran adalah 6.5 hektar dan tindakan awal sudah diambil oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dengan membuat ‘fire break’ bagi mengelak api terus merebak.
Difahamkan, kebakaran dapat dikawal dari merebak pada jam 9.00 malam hari kejadian dan kerja-kerja pemadaman atau pengawalan masih dilakukan sehingga hari ini.
#PPS #pencemaran udara #Nibong Tebal #pindah penduduk
;