Pencemaran Sungai Semenyih: Azmin beri amaran kepada JAS

Tan Su Lin
Oktober 5, 2016 06:13 MYT
AZMIN: "Saya beri amaran keras kepada JAS supaya bertindak profesional. Ini adalah isu keselamatan dan kepentingan pengguna di Selangor." - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali memberi amaran kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) agar bertindak profesional dalam siasatan berhubung kes pencemaran di Sungai Semenyih yang menyebabkan lebih 1 juta penduduk di empat daerah iaitu Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang berdepan gangguan bekalan air berikutan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa ditutup.
Ujarnya, beliau kesal dengan tindakan kelewatan agensi itu turun ke lokasi untuk mendapatkan sampel air yang dikesan mengandungi pencemaran bau walaupun dimaklumkan sejak tengah malam hari kejadian.
"Saya beri amaran keras kepada JAS supaya bertindak profesional. Ini adalah isu keselamatan dan kepentingan pengguna di Selangor. Kita berjaya kesan lokasi pencemaran dan maklumkan pada pihak JAS namun mereka hanya tiba di lokasi pada jam 10 pagi.
"Di pihak kerajaan negeri, saya tidak akan kompromi dalang yang melakukan pencemaran," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Walikota Bandung, Mochamad Ridwan Kamil di Pejabat Menteri Besar Selangor, di sini, hari ini.
Beliau juga melahirkan kekhuatiran berhubung kesahihan bahan bukti susulan kelewatan tindakan pengambilan sampel air dibuat.
"Dari segi undang-undang, kita tidak boleh menggunakan sampel kami di mahkamah. Hanya JAS yang boleh mengambil sampel untuk dijadikan bahan bukti tetapi persoalannya sekiranya mereka turun padang 10 jam selepas insiden, saya bimbang bukti menjadi lemah dan ini mungkin akan mengagalkan tindakan mahkamah," katanya lagi.
Di pihak kerajaan negeri, katanya beliau telah mengarahkan supaya premis kilang yang beroperasi tanpa lesen berkenaan disita serta merta dan majlis daerah turut diarahkan merampas tanah tersebut.
Dalam pada itu, kerajaan negeri akan melantik pasukan pemantauan sungai dan pasukan penguatkuasaan untuk ditempatkan di beberapa lokasi sepanjang Sungai Semenyih sebagai langkah jangka panjang membendung kegiatan pencemaran sungai.
Ujarnya lagi, Loji Rawatan Air Semenyih yang ditutup selama tiga hari baru-baru ini berikutan pencemaran di Sungai Semenyih telah dibuka semula jam 10 malam tadi dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh 24 jam.
#Azmin Ali #gangguan bekalan air #Jabatan Alam Sekitar #JAS #Loji Rawatan Air Semenyih #pencemaran #Sungai Semenyih