Pencemaran Sungai Selangor: Ganjaran RM20,000 kepada pemberi maklumat - Exco
Fareez Azman
Oktober 19, 2020 14:48 MYT
Oktober 19, 2020 14:48 MYT
KUALA SELANGOR: Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Negeri Selangor, Hee Loy Sian memaklumkan, kerajaan negeri bersetuju untuk memberi ganjaran sehingga RM20,000 kepada mana mana pihak yang memberi maklumat berkaitan pencemaran Sungai Selangor sehingga tertangkapnya dalang kejadian itu.
Jelasnya, selain ganjaran, hukuman yang lebih berat termasuk denda sehingga RM1 juta akan dikenakan terhadap pelaku akan diusul dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November depan.
"Untuk sidang Dewan Undangan Negeri Selangor akan datang pada 1 November, kita akan bawa untuk mengubah hukuman penjara dan denda, jika sekarang RM100,000 kita akan tingkatan RM200,000 hingga RM 1 juta dan penjara tiga tahun.
"Pada masa sama, kita akan mengalakkan orang ramai bertindak sebagai whistleblower iaitu kita akan beri ganjaran RM20,000 kepada mereka yang mendedahkan unsur-unsur mencemarkan sungai," katanya selepas mengadakan lawatan di muka sauk Lori Rawatan Air Selangor Fasa 2 pada Isnin.
Dalam pada itu ujarnya, kerajaan negeri Selangor akan menggunakan dron teknologi tinggi dengan peruntukan RM2 juta bagi menangani isu pencemaran.
Jelasnya dengan menggunakan dron itu, pemantuan di kawasan terpencil dapat dilakukan bagi mengesan sebarang unsur-unsur pencemaran.
"Negeri Selangor baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM2 juta mengadakan dron berteknologi tinggi dan kita akan gunakan dron memastikan sampel air dapat diambil dengan lebih berkesan lebih tepat.
"Pada masa sama, (dron) boleh masuk tempat terpencil yang sukar capai. (Dron) Ini akan start bulan depan kita akan gunakan dron untuk mengatasi masalah ini," katanya.
#pencemaran sungai
#sungai tercemar
#Sungai Selangor
#Exco Selangor
#Hee Loy Sian
#Dewan Undangan Negeri
#dron