Pencemaran sungai mungkin berpunca dari pihak industri yang terjejas - Aktivis
Madiha Abdullah
November 15, 2020 19:15 MYT
November 15, 2020 19:15 MYT
KUALA LUMPUR: Terdapat kemungkinan pencemaran air yang semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini berpunca daripada tekanan yang dialami pihak industri susulan pandemik COVID-19.
Aktivis alam sekitar, Amlir Ayat, berpendapat, kekangan dan sumber kewangan yang terjejas sepanjang tempoh pandemik berkemungkinan membuatkan golongan ini bertindak melupuskan sisa industri menggunakan cara paling murah.
"Ada kemungkinan situasi semasa membuatkan mereka membuang sisa dengan cara yang tidak betul demi menjimatkan kos.
"Pembuangan sisa industri bukan murah kerana kalau melibatkan syarikat atau kilang besar, kosnya boleh mencecah puluhan, malahan ratusan ribu ringgit.
"Perkara ini menyukarkan pihak berkuasa kerana kita tidak boleh meramalkan perkara sebegini. Kerana itu saya merasakan kita memerlukan dana yang lebih untuk diperuntukkan kepada penguatkuasaan dan pengurusan sumber air yang bersesuaian dengan keadaan sekarang," katanya ketika ditemu bual dalam program Buletin AWANI pada Ahad.
Ditanya tentang dakwaan sabotaj daripada pihak tertentu, Amlir tidak menolak kemungkinan tersebut namun berharap ia tidak benar.
"Kemungkinan itu ada tetapi saya harap ia tidak benar. Kalau ada unsur sabotaj terhadap kerajaan negeri Selangor, mungkin atas tujuan politik dan sebagainya, ini sangat tidak wajar.
"Apabila bekalan air terputus, yang susah adalah berjuta rakyat. Ini menyusahkan. Jika benar ia sabotaj, ia satu jenayah besar dan perlu diambil tindakan seadilnya," katanya.
Tambah Amlir lagi, kerjasama semua pihak sangat diperlukan kerana pencemaran sungai tidak dapat dihentikan tanpa kesedaran.
"Pihak berkuasa boleh ambil tindakan. Tetapi manusia yang tiada kesedaran, akan buat apa sahaja untuk lari dan mengelak.
"Undang-undang perlu untuk mengurangkan dan memberi pengajaran. Tetapi tanpa kesedaran awam, keadaan tak akan berubah," katanya lagi.
#bekalan air
#pandemik
#COVID-19
#Air Selangor
#LUAS
#pencemaran sungai
#LRA
#gangguan air
#Selangor
#Amlir Ayat
#loji rawatan air