Pencemaran Sungai Kilim berjaya diatasi - MP Langkawi

Bernama
Ogos 28, 2016 07:27 MYT
Kerja-kerja penambahbaikan tapak pelupusan sampah itu sudah dilaksanakan sejak Mei lepas menerusi peruntukan kerajaan persekutuan berjumlah RM18 juta dan dijangka siap Mac tahun depan; - Gambar fail.
Pencemaran yang berlaku di Sungai Kilim di sini sudah berjaya diselesaikan dan hanya melibatkan sebahagian kecil kawasan, kata Anggota Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad pada Ahad.
Katanya isu yang diviralkan dalam media sosial itu baru-baru ini berlaku ekoran kebocoran yang berlaku di tapak pelupusan sampah kawasan itu pada 15 Ogos lepas dan telah diatasi pihak kontraktor projek pelupusan itu sehari kemudian.
"Masalah ini tidak melibatkan seluruh Langkawi. Hanya satu kawasan di Kilim dan ia berjaya diselesaikan. Sebagai wakil rakyat saya boleh kata anda boleh datang ke Langkawi dengan hati yang senang. Tidak ada masalah," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan ke kawasan Kilim.
BACA: [EKSKLUSIF] Busuk, kotor dan tercemar. Apa sudah jadi dengan Langkawi?
Menurutnya, sehingga kini kejadian itu tidak menjejaskan kehidupan air di kawasan itu dan sebagai langkah tambahan, beberapa sampel air dari Sungai Kilim telah dihantar untuk kajian Jabatan Kimia.
"Sekarang ini ikan didapati masih banyak lagi, jadi air sungai ini masih okey dan tidak menjejaskan kehidupan," katanya.
Nawawi berkata kerja-kerja penambahbaikan tapak pelupusan sampah itu sudah dilaksanakan sejak Mei lepas menerusi peruntukan kerajaan persekutuan berjumlah RM18 juta dan dijangka siap Mac tahun depan.
BACA: Pencemaran Sungai Kilim: Wakil rakyat Langkawi enggan ulas
BACA: Isu Sungai Kilim: Kebocoran di tapak pembuangan sampah punca pencemaran
Menurutnya tapak pelupusan itu memproses kira-kira 100 tan sampah sehari dan kerja-kerja penambahbaikan unit insinerator di situ turut dilaksanakan.
Katanya masyarakat dan pelancong di Langkawi dapat membantu mengurangkan masalah pengurusan sampah dengan mematuhi sepenuhnya peraturan pengasingan sisa pepejal dari punca yang telah dikuatkuasakan sejak 1 Jun lepas.
#Jabatan Kimia #Langkawi #Nawawi Ahmad #Pencemaran Sungai Kilim
;