Pencemaran minyak berpunca daripada tumpahan minyak pelincir terpakai

Bernama
Ogos 31, 2013 22:00 MYT
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor telah menjalankan siasatan segera ke muka sauk empat Loji Rawatan Air (LRA) yang operasinya ditutup sementara semalam berikutan pencemaran minyak diesel di Sungai Selangor, bagi mengenal pasti punca pencemaran itu.
LRA berkenaan ialah Rantau Panjang manakala tiga buah lagi di Kampung Bukit Badong iaitu SSP1 (SPLASH), SSP2 (Puncak Niaga) dan SSP3 (SPLASH).
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel berkata hasil siasatan itu mendapati kesan minyak tersebut berpunca daripada tumpahan minyak pelincir terpakai (SW 305) di dalam longkang pada sebuah bengkel penyelenggaraan lori di Jalan Batu Arang, Sungai Bakau, Rawang.
"Kesan pembuangan minyak itu menyebabkan kesan minyak yang ketara terhadap Sungai Gong yang akhirnya telah memasuki Sungai Selangor dan mengakibatkan empat loji air di Rantau Panjang dan Bukit Badong ditutup operasi sementara Jumaat.
"Pasukan penyiasat JAS telah melakukan persampelan minyak di Sungai Gong dan dalam premis untuk melengkapkan siasatan. Pihak premis telah diarah membuat sekatan serta-merta dengan menutup aliran longkang premis bagi menyekat aliran air bercampur minyak dari terus memasuki ke dalam Sungai Gong," katanya dalam kenyataan hari ini.
Palanivel berkata selain itu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah memasang peralatan kawalan tumpahan minyak di permukaan Sungai Gong berhampiran longkang yang melepaskan aliran air bercampur minyak bagi menghalang aliran minyak itu berterusan mencemari Sungai Gong dan seterusnya ke Sungai Sembah sebelum memasuki Sungai Selangor.
Palanivel menegaskan JAS akan mengambil tindakan tegas berhubung insiden pencemaran itu selaras dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
#Jabatan Alam Sekitar #pencemaran #Sungai Selangor
;