Pencemaran kimia: Anggota HAZMAT mencukupi

Bernama
Mac 16, 2019 04:50 MYT
Pasukan yang terlibat dalam Ops Kim Kim melakukan kerja-kerja memindahkan tanah yang tercemar dari lokasi kejadian sebelum dipindahkan ke pusat pelupusan di kawasan insiden pencemaran di Sungai Kim Kim, 16 Mac, 2019. --fotoBERNAMA/Fail
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa bersedia untuk menambah jumlah anggota pasukan dari Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) bagi membantu operasi pembersihan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang dari semasa ke semasa.
Ketua Pengarahnya, Datuk Muhammad Hamdan Wahid berkata setakat ini sebanyak lapan pasukan dari lapan negeri telah dikerah membantu operasi pembersihan di kawasan berkenaan dan ia adalah mencukupi dengan kerjasama serta bantuan daripada agensi lain yang memiliki kepakaran sama.
"Pasukan HAZMAT menjalankan pemantauan hampir 24 jam sehari di perimeter kawasan yang tercemar untuk dapatkan bacaan (tahap pencemaran) setiap masa bagi melihat perkembangan sisa bahan serta reaksi kimia.
"Perkembangan ini perlu dilihat dari semasa ke semasa kerana bacaan selalu berubah disebabkan faktor tiupan angin dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan (PKJ) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2018 di sini, pada Sabtu.
Seramai 54 pegawai dan anggota termasuk dari JBPM Terengganu dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur menerima APC manakala enam individu yang dinobatkan sebagai Wira Darul Iman setelah menyelamatkan nyawa lima mangsa lemas di Pulau Warisan baru-baru ini dikurniakan PKJ atas jasa dan keberanian mereka.
Menurut Muhammad Hamdan, pada masa ini JBPM telah menubuhkan 18 pasukan HAZMAT yang terdiri daripada 180 orang berpusat di kawasan atau zon yang strategik.
"Dengan peralatan, kelengkapan, latihan serta kolaborasi kita dengan institusi antarabangsa... saya percaya pasukan kita mampu menangani kes-kes sebegini dalam negara. Cumanya perlu ada satu kaedah pengurusan yang lebih efisien jika ia melibatkan 'multi' agensi," katanya.
-- BERNAMA
#angin #bahan kimia #bomba #Hazmat #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #mangsa #Muhammad Hamdan Wahid #operasi #Pasir Gudang #pembersihan #pencemaran #sisa kimia #sisa toksik #Sungai Kim Kim
;