Pencemaran di sekitar Masjid Jamek diberi perhatian - PM Najib

Bernama
Februari 19, 2017 23:00 MYT
Aspek kebersihan yang dijaga di dalam masjid perlu juga dibawa hingga ke persekitaran luarnya. - Gambar fail
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata isu pencemaran persekitaran di kawasan Masjid Jamek akan diberi perhatian bagi memastikan nilai sejarah dan keindahan masjid itu, antara yang tertua di negara ini terpelihara.
Perdana Menteri berkata pencemaran tidak terkawal telah membawa kesan kepada kawasan persekitaran masjid yang begitu unik kerana menjadi titik pertemuan antara Sungai Klang dan Sungai Gombak.
"Pencemaran tidak terkawal telah membawa kesan kepada sungai kita dan pembangunan juga telah mengurangkan daya tarikan kawasan persekitaran ini.
"Sehinggakan ada laporan bahawa tidak sesuai berjalan di sepanjang tebing sungai," katanya dalam catatan Facebooknya malam tadi.
Najib berkata jika dibandingkan dengan bandaraya maju lain seperti New York, Paris dan Korea Selatan, kawasan sepanjang perairan dan sungai begitu meriah dengan aktiviti ekonomi dan riadah oleh pelancong serta keluarga.
"Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan dan banyak lagi usaha perlu dipertingkatkan untuk memulihkan semula kebanggaan kita ini.
"InsyaAllah saya akan meneliti perkara ini dalam masa terdekat," katanya. -- Bernama
#masjid jamek #Najib Razak #Perdana Menteri #Singai Gombak #sungai klang