Pencemaran di muka sauk Jenderam Hilir, LUAS terus laksana pemantauan susulan
Bernama
Disember 3, 2022 21:18 MYT
Disember 3, 2022 21:18 MYT
SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan agensi-agensi berkaitan terus melaksanakan pemantauan susulan di muka sauk Jenderam Hilir, Dengkil, berikutan insiden pencemaran bau yang berlaku semalam berpotensi untuk berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata ia disebabkan lokasi punca pencemaran itu adalah dari luar kawasan Selangor selain kejadian itu masih dalam siasatan dan sedang dikenal pasti pihak berkuasa di Negeri Sembilan.
"LUAS bersama semua agensi Negeri Selangor terlibat sedang berkomunikasi dengan agensi-agensi berwajib di Negeri Sembilan untuk bersama-sama menyelesaikan isu pencemaran ini dengan kadar segera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hee berkata berdasarkan situasi semasa Sungai Semenyih dan kawasan persekitaran telah menerima hujan lebat dengan aliran air sungai yang tinggi telah membantu mempercepatkan pencairan pencemaran di dalam sungai.
"Sehingga pukul 6 pagi hari ini tiada pencemaran bau dikesan di lokasi-lokasi strategik pensampelan oleh LUAS termasuk di kawasan muka sauk Jenderam Hilir.
Pemantauan bermula jam 6.30 petang semalam telah ditamatkan pada jam 6 pagi hari ini setelah tiada risiko henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) disahkan," katanya.
Semalam, LRA Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dihenti tugas sementara susulan pencemaran bau sehingga empat ton yang dikesan di muka sauk Jenderam Hilir.
--BERNAMA