Pencemaran: Berikan lebih 'taring' kepada JAS untuk ambil tindakan - Wan Junaidi

Tan Su Lin
Januari 18, 2016 12:54 MYT
Wan Junaidi (gambar) turut mengakui wujud kelemahan dalam perundangan sedia ada menyebabkan isu pencemaran di negara ini semakin berleluasa. -Gambar fail
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan mengkaji semula Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi memberi lebih kuasa kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mengakibatkan pencemaran termasuk pencemaran bauksit di Kuantan, Pahang.
Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata semakan undang-undang itu juga bertujuan memberi lebih 'taring' kepada JAS dalam pengkuatkuasaan melibatkan alam sekitar.
Jelas beliau, sebelum ini pihak JAS hanya menjalankan analisis pencemaran dan menyerahkan data hasil analisis kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kerajaan negeri untuk mengambil tindakan.
"Apabila berlaku pencemaran, pihak JAS mengambil sampel dari air sungai atau laut, tetapi selepas sampel itu diperoleh, pihak JAS tidak ada peruntukan khusus untuk mengambil tindakan terhadap pihak pelaku."
"Undang-undang sedia ada masih di peringkat kerajaan negeri dan PBT seperti majlis perbandaran, tetapi undang-undang di peringkat nasional juga perlu ada undang-undang seperti itu.
"Saya akan minta badan perundangan untuk menambah 'taring' kepada JAS untuk mengambil tindakan sewajarnya," kata beliau dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Kebangsaan Pengurusan Pencemaran Marin di sini, hari ini.
Wan Junaidi turut mengakui wujud kelemahan dalam perundangan sedia ada menyebabkan isu pencemaran di negara ini semakin berleluasa.
Justeru kementeriannya juga akan melihat semula aspek perlunya bukti dalam kes pencemaran agar undang-undang dipinda berlandaskan konsep 'strict liability'.
"Saya fikir undang-undang perlu dikaji semula untuk melihat sama ada kita boleh menukar konsep asal undang-undang kepada konsep undang-undang 'strict liability' apabila berlaku suatu perkara, dan pihak pelaku - tidak kira apa tujuan sama ada sengaja atau tidak - mungkin tidak perlu bukti untuk didapati bersalah.
"Ini masih dalam peringkat perbincangan di peringkat Kementerian sebelum kita meminta maklum balas peguam negara," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Wan Junaidi berkata, biarpun hampir setiap hari JAS mengambil sampel dari sungai dan sumber air yang dicemari bauksit, namun kuasa mereka adalah terhad.
"Seperti isu bauksit, selang setiap hari pihak JAS mengambil sampel air untuk analisis kandungan bahan kimia seperti aluminium, raksa dan unsur lain.
"Malangnya, JAS tidak mempunyai undang-undang nak tuduh siapa. Jadi hanya simpan data dan jadi penjaga bukti yang tidak dipakai," katanya.
#alam sekitar #JAS #pbt #pencemaran #pihak berkuasa tempatan #Wan Junaidi
;