Pencemaran bau: KKM sedia bantu individu terkesan

Faida Rahim
September 10, 2024 12:50 MYT
Dr Dzulkefly bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-20 Institut Latihan KKM Sungai Buloh di ILKKM Sungai Buloh hari ini. - Foto Astro AWANI
SUNGAI BULOH: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia membantu individu terkesan, terutama yang mengalami gejala, akibat terdedah kepada pencemaran bau di sekitar bandar raya Johor Bahru.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu isu pencemaran bau di sekitar sungai di negeri itu dipantau pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Pencemaran bau akibat kehadiran gas amonia yang dikesan di sekitar sungai di Johor adalah dalam bidang tugas JAS.
“Jadi, kita dalam bidang tugas masing-masing, yang mana mangsa yang dimasukkan ke kemudahan kesihatan, kita akan bertindak.
“Kami sedia beri kerjasama, sama seperti dalam kes di Sungai Kim Kim pada 2019, yang mana ia di bawah bidang kuasa JAS,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-20 Institut Latihan KKM Sungai Buloh di institut tersebut hari ini.
Terdahulu, tiga sekolah di Johor Bahru dilaporkan melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) hari ini susulan pencemaran bau.
Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya, Sekolah Rendah Islam Hidayah dan Sekolah Menengah Islam Hidayah.
SK Maju Jaya mempunyai 974 murid dan 64 guru; Sekolah Rendah Islam Hidayah mempunyai 1,232 murid dan 92 guru manakala Sekolah Menengah Islam Hidayah mempunyai 807 pelajar dan 75 guru.
Setakat ini, penutupan sekolah dan pembelajaran secara PdPR berlangsung hari ini sahaja.
Perkembangan seterusnya bergantung kepada situasi dan laporan semasa, sama ada ia akan disambung untuk esok atau sebaliknya.
Pada Isnin, SK Kampung Maju Jaya ditutup pada jam 1 petang sebagai langkah keselamatan susulan 21 murid mengalami loya, sesak nafas dan pening kepala akibat terdedah kepada pencemaran bau.
#pencemaran bau #Jabatan Alam Sekitar #Dzulkefly Ahmad #Sungai
;