Pencemaran bau kimia: Polis tahan pemandu, kelindan lori di Johor

Siti Nur Aqilla Omar
September 10, 2024 16:15 MYT
Pada awal minggu lalu, beberapa kawasan di Johor Bahru termasuk Kampung Melayu Pandan terjejas dengan insiden pencemaran bau kimia. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan dua lelaki yang juga pemandu serta kelindan lori yang disyaki terlibat dalam kes pencemaran bau kimia di sekitar daerah ini, sejak awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kedua-dua lelaki warga tempatan berusia 23 dan 28 tahun itu ditahan di sebuah pangsapuri di daerah ini sekitar jam 11 malam pada Isnin.
“Semakan rekod lampau mendapati kedua-duanya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau manakala hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya bebas pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Raub berkata, kedua-dua suspek ditahan reman bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan selama tujuh hari bermula Selasa sehingga 16 September.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Raub berkata, kedua-dua suspek terbabit sebelum ini ditahan kerana membuang bahan kimia di Sungai Linggiu berhampiran Kampung Orang Asli Pasir Intan, Kota Tinggi pada 4 September lalu.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian terbabit boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323.
Pada awal minggu lalu, beberapa kawasan di Johor Bahru termasuk Kampung Melayu Pandan terjejas dengan insiden pencemaran bau kimia, yang menyebabkan penduduk mengalami simptom loya dan pening.
Pencemaran tersebut turut dilaporkan berlaku di tiga taman perumahan iaitu Taman Daya, Mount Austin dan Taman Istimewa.
Pada Rabu, pencemaran bahan kimia dikesan di Kampung Orang Asli Pasir Intan manakala pada Jumaat lagi lagi insiden serupa dikesan di di Kawasan Industri Desa Tropika, Johor Jaya.
#pencemaran bau kimia #Johor #identiti suspek #polis johor
;