Pencemaran bau kimia dikesan di tiga lokasi di Johor Bahru
Siti Nur Aqilla Omar
September 3, 2024 10:15 MYT
September 3, 2024 10:15 MYT
JOHOR BAHRU: Pencemaran bau kimia dikesan di tiga kawasan dekat Taman Mount Austin, Taman Daya dan Taman Istimewa di sini pada awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Khairul Azhar Abd Aziz berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu pada pukul 1.39 pagi.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat bau kimia di sekitar kawasan yang dilaporkan iaitu Austin Hill, Jalan Sagu Taman Daya.
"Bau tersebut telah dikenal pasti di kawasan sekitar tiga tempat iaitu Taman Mount Austin, Taman Daya dan Taman Istimewa. Ia tidak melibatkan mangsa setakat ini.
"Bau tersebut juga masih belum dapat dikenal pasti jenis dan tahap kemerbahayaan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan. di sini, hari ini.
Menurut Khairul Azhar, tindakan operasi semasa adalah dengan membuat pemantauan menyeluruh dan bacaan udara menggunakan ‘gas detector’ oleh BBP Tebrau dan Unit Hazmat BBP Larkin.
"Operasi masih lagi diteruskan sehingga kini.
“Seramai 19 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian," jelas beliau.