Pencemaran bau kimia: 143 kes terima rawatan setakat ini - Dr Dzulkefly

Bernama
September 10, 2024 17:25 MYT
Dr Dzulkefly berkata daripada jumlah itu, 139 kes dirawat sebagai pesakit luar manakala empat individu termasuk seorang wanita mengandung menerima rawatan di fasiliti kesihatan. - Gambar fail
SUNGAI BULOH: Sebanyak 143 kes gejala ringan seperti loya dan pening dilaporkan susulan insiden pencemaran bau di beberapa kawasan di sekitar Johor Bahru setakat ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 139 kes dirawat sebagai pesakit luar manakala empat individu termasuk seorang wanita mengandung menerima rawatan di fasiliti kesihatan.
"Bagaimanapun, kesemua individu terlibat dengan insiden ini sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing," katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-20 Institut Latihan Kementerian Kesihatan Sungai Buloh hari ini.
Sebelum ini, dilaporkan 38 penduduk dari Kampung Orang Asli Pasir Intan di Kota Tinggi dipindahkan ke pusat pemindahan sementara dipercayai akibat pencemaran bahan kimia di kampung itu sejak Khamis lepas manakala 27 murid Sekolah Kebangsaan Kampung Maju Jaya di Johor Bahru mengalami gejala pening dan muntah-muntah dipercayai akibat pencemaran bau yang berlaku di Kampung Maju Jaya dan Kampung Tawakal.
Sementara itu, mengulas mengenai aduan kes buli membabitkan beberapa doktor di sebuah hospital kerajaan di Sabah, Dzulkefly berkata siasatan sedang dilakukan dan sebarang keputusan berhubung perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Kita akan teruskan siasatan yang lebih terperinci, sama ada wujudkan badan bebas atau apa pun, itu kami akan buat keputusan dalam mesyuarat pasca-Kabinet minggu depan," katanya.
Beberapa doktor dikatakan menjadi mangsa buli secara verbal dan fizikal di sebuah hospital di Sabah apabila dihambur kata-kata kesat, lucah serta penghinaan kaum selain pernah diancam senjata tajam, jika tidak mematuhi arahan ketua unit.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan bertoleransi dengan kes pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan menyerahkan siasatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.
"Saya nak mengingatkan kepada semua warga KKM bahawa saya dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak akan bertoleransi dengan perkara melibatkan penyalahgunaan kuasa tidak kira sifat, kedudukan dan jawatan mereka," katanya.
Baru-baru ini, tiga individu iaitu dua doktor ortopedik dan seorang ejen direman bagi membantu siasatan kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya PERKESO.
-- BERNAMA
#pencemaran bau kimia #Johor #jumlah kes #Dr Dzulkefly
;