Pencemaran bau: JAS Johor kesan gas ammonia di Sungai Pandan

Bernama
September 4, 2024 15:40 MYT
Mohd Rashdan (kiri) memerhati anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil sampel air Sungai Pandan bagi mengenal pasti pencemaran bahan kimia hari ini. --fotoBERNAMA
JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengesan gas ammonia dengan bacaan kepekatan tinggi menerusi pemantauan kualiti udara yang dilakukan di Sungai Pandan, Kampung Melayu Pandan di sini pada 4 petang semalam.

Ringkasan AI
  • JAS Johor mengesan gas ammonia dengan kepekatan tinggi di Sungai Pandan, tetapi bacaan kembali normal pada pagi berikutnya. Siasatan lanjut akan dijalankan terhadap kira-kira 100 kilang di sepanjang sungai tersebut.
  • JAS turut mengesan lapisan minyak berwarna kehitaman di permukaan air Sungai Pandan yang disyaki bahan kimia. Sampel tanah dan air telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis.
  • Dua orang awam mengalami gejala loya dan pening menerima rawatan sebagai pesakit luar. Tinjauan mendapati sebuah sekolah agama telah beroperasi semula, namun sebuah tadika masih ditutup.

Timbalan Pengarah Kanan JAS Johor Mohd Rashdan Topa berkata bagaimanapun, bacaan itu kembali normal menerusi pemantauan kualiti udara yang dijalankan pada 1.10 pagi tadi.
"Gas ammonia lazimnya digunakan oleh industri seperti kilang kumbahan, baja dan ais, sehubungan dengan itu, siasatan lanjut akan dijalankan terhadap kira-kira 100 kilang di sepanjang sungai berkenaan," katanya pada sidang media di Kampung Melayu Pandan hari ini.
Beliau berkata siasatan turut menjurus kepada kemungkinan sama ada terdapat lori dari kilang yang tidak beroperasi di sekitar kawasan itu yang membawa sisa dan membuangnya ke dalam sungai terbabit.
Selain itu, Mohd Rashdan berkata pihaknya turut mengesan oil sheen kira-kira dua kilometer pada permukaan air Sungai Pandan yang berwarna kehitaman dan disyaki bahan kimia.
JAS katanya, telah menghantar sampel tanah tercemar dan sampel air sungai itu ke Jabatan Kimia Malaysia di sini untuk dianalisis dan punca sebenar pencemaran setakat ini masih belum dikenal pasti serta siasatan menyeluruh sedang dijalankan.
Sementara itu, berdasarkan maklumat Jabatan Kesihatan Negeri Johor, hanya dua orang awam yang mengalami gejala loya dan pening menerima rawatan sebagai pesakit luar, setakat ini.
Terdahulu, tinjauan Bernama di Kampung Melayu Pandan mendapati sebuah sekolah agama yang ditutup semalam telah beroperasi seperti biasa pagi ini, namun sebuah tadika masih ditutup selain penduduk sekitar dilihat meneruskan aktiviti harian dan perniagaan mereka seperti biasa.
Pencemaran bau dikesan di kawasan sekitar Taman Mount Austin, Taman Daya, Taman Istimewa dan Kampung Melayu Pandan di sini semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau Pegawai Bomba Kanan (PBK) I KUP Khairul Azhar Abd Aziz menerusi kenyataan berkata 19 anggota termasuk dari BBP Larkin membuat pemantauan sebaik menerima laporan pada 1.30 pagi semalam.
-- BERNAMA
#Jabatan Alam Sekitar #JAS Johor #sungai pandan #bau ammonia #Kampung Melayu Pandan
;