Pencemaran bau air mentah: Operasi LRA Sungai Langat diberhentikan sementara
Astro Awani
Oktober 7, 2016 23:02 MYT
Oktober 7, 2016 23:02 MYT
Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat terpaksa diberhentikan buat sementara waktu akibat pencemaran bau air mentah.
Dalam satu kenyataan daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pada Jumaat malam, beberapa kawasan di daerah Kuala Lumpur, Petaling dan Hulu Langat dijangka terjejas ekoran penutupan loji dan insiden berkenaan.
“Pihak kami akan memaklumkan status terkini dan senarai kawasan yang terjejas. Masa pemulihan tidak dapat ditentukan buat masa ini dan bergantung kepada pengoperasian semula loji,” ujar makluman itu.
Pihak Syabas memohon kerjasama pengguna untuk mengurangkan kesesakan panggilan di pusat panggilan dengan mendapatkan maklumat melalui aplikasi mySyabas di Google Playstore atau Appstore atau layari www.syabas.com.my untuk maklumat terkini.