Pencemaran bahan kimia: Syarikat Korea Selatan bantu tangani sisa Sungai Kim Kim

Najib Aroff
Mac 14, 2019 16:41 MYT
Pihak Lotte Chemical Titan sentiasa mematuhi undang undang termasuk dalam urusan pelupusan bahan kimia dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa. - Foto Astro Awani
Syarikat petro kimia Korea Selatan, Lotte Chemical Titan Holding Sdn Bhd membantu pihak berkuasa dalam usaha mengawal sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.
Presidennya Lee Dong-Woo berkata syarikat itu turut menyediakan kelengkapan canggih untuk membersihkan kawasan sekolah yang tercemar selain menyediakan bantuan ambulans dan tenaga kerja.
“Kami sedih atas insiden ini dan kami sudah menyalurkan bantuan kepada sekolah dan kawasan perumahan,” katanya pada Forum Perniagaan Malaysia Korea Selatan pada Khamis.
BACA: Pencemaran bahan kimia: Hentikan segera operasi kilang!
Tambahnya pihak syarikat sedia mengerahkan kepakaran yang dimiliki dalam mengawal sisa kimia berdasarkan pengalaman luas syarikat itu.
“Kami sudah membantu untuk membersihkan sekolah yang terjejas.
“Kami belum berbincang sepenuhnya dengan kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian terbaik kepada pencemaran tersebut,” katanya.
Tambahnya pihak Lotte Chemical Titan sentiasa mematuhi undang undang termasuk dalam urusan pelupusan bahan kimia dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa.
#Kilang Titan #Lee Dong-Woo #Lotte bantu bersihkan pencemaran sungai Kim Kim #Lotte Chemical Titan #Sungai Kim Kim #Syarikat petro kimia Korea Selatan
;