Pencemaran bahan kimia: Sekolah baru dibuka, pelajar pengsan lagi

Astro Awani
Mac 11, 2019 13:58 MYT
Hasil tinjauan rambang, tidak kurang 20 pelajar berada pada tahap kesihatan yang tidak stabil. - Foto Astro AWANI
Tidak sampai lapan jam sesi persekolahan bermula, Sekolah Menengah Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih di sini gempar apabila ada dalam kalangan pelajar yang pengsan.
Ketika kejadian, kru Astro AWANI bersama beberapa agensi media yang lain sedang membuat tinjauan di Sungai Kim Kim yang berhampiran sebelum terus bergegas ke sekolah terbabit.
Didapati, kedua-dua sekolah yang terletak saling bersebelahan mula sesak apabila kesemua mereka diarahkan meninggalkan sekolah serta merta.
Hasil tinjauan rambang, tidak kurang 20 pelajar berada pada tahap kesihatan yang tidak stabil.
BACA: Sungai Kim Kim sering dicemari, insiden pada Khamis paling buruk - Penduduk
Menurut pengetua SMK Pasir Putih; Wardah Ismail, sejak pagi sekitar pukul 10 pagi tadi, 10 pelajar telah dibenarkan pulang ke rumah berikutan keadaan fizikal mereka yang kurang sihat.
Tidak kurang lima ambulans turut dikejarkan ke sekolah terlibat.
Sementara itu, 10 pelajar sekolah menengah dan rendah sekolah terbabit ditempatkan di Dewan Pasir Putih untuk sementara waktu.
Pada Khamis, 1,400 pelajar SMK Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, diarah mengosongkan kawasan sekolah selepas terdapat pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai dari bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim.
Sewaktu itu, mangsa termasuk pelajar SMK Pasir Putih dan SK Pasir Putih serta orang awam dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, selepas terhidu gas itu.
#pelajar pengsan #pencemaran bahan kimia #Pencemaran gas dan sisa pembuangan #sekolah dikosongkan #Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih #sekolah tercemar #SMK Pasir Putih #Sungai Kim Kim
;