Pencemaran bahan kimia: PM ke Pasir Gudang, adakan sidang media khas
Isabelle Leong
Mac 14, 2019 16:03 MYT
Mac 14, 2019 16:03 MYT
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat lawatan ke Pasir Gudang pada petang ini bagi melawat mangsa pencemaran kimia susulan pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.
Dr Mahathir juga akan mengadakan sidang media khas di Hospital Sultan Ismail pada petang ini.
Beliau dijangka tiba di Lapangan Terbang Senai pada jam 5 petang ini.
Terdahulu, Majlis Penyerahan Kad Keahlian Ahli BERSATU yang sepatutnya berlangsung petang ini, di mana Dr Mahathir akan menyerahkan kad keahlian kepada bekas Wakil Rakyat UMNO Sabah ditangguhkan ke Jumaat.
Sementara itu, Dewan Rakyat telah meluluskan usul tergempar untuk membahaskan pengisytiharan darurat di Pasir Gudang.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof meluluskan usul itu yang dibentang Anggota Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang bermula pada jam 4:30 petang.